“Jangan lari-lari, nanti kamu jatuh.”

“Balik awal dari kelas petang, jangan lewat.”

Jangan itu, jangan ini, dan banyak lagi jangannya.

Tapi tahukah anda? Berkata ‘jangan’ kepada murid merupakan kesalahan dalam mendidik dan mendisiplinkan mereka.

Tapi kenapa? Berikut ini kesalahan umum yang perlu guru dan ibu bapa tahu.

1. Tutur yang negatif

Tanpa kita sedar, perkataan ‘tidak’ dan ‘jangan’ sebenarnya akan membuatkan murid atau anak menjadi kebal dan tidak terkesan dengannya. Kita sering melarang mereka membuat sesuatu tanpa menerangkan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Jadi, elakkan berkata jangan dan tidak pada murid, sebaliknya fokuskan kepada apa yang sepatutnya mereka perlu buat.  

Contohnya, ‘Jangan lari-lari…’ sepatutnya, ‘Saya risau kamu lari-lari, nanti jatuh..’ atau  ‘Saya tak suka kamu balik lewat dari sekolah, balik awal!’, sepatutnya ‘Selepas habis waktu sekolah, cuba balik awal, ibu kamu tentu risau jika kamu balik lewat..’. Kata-kata ini bukan sahaja dapat memujuk murid untuk berbuat baik, bahkan membantu mereka mendisiplinkan diri.

2. Banyak sangat peraturan

Sepertimana sebelumnya, memberikan terlalu banyak peraturan, jangan itu, jangan ini, tak boleh buat begitu, dan tak boleh buat begini, perlu begitu, perlu begini, bukan hal yang baik untuk murid. Masih lagi dalam pantauan anda, cuba berikan mereka peluang untuk berfikir apa yang terbaik untuknya. Ketika itu, anda perlu fokuskan apa yang penting dan bukan hal yang remeh temeh. Inti tugasnya adalah membentuk mereka untuk berperilaku mulia.

Selain itu berikan peluang mereka ini memberikan pendapat dan pandangan. Tidak mengapa jika anda tidak bersetuju dengan pandangannya, namun dengarkan dulu apa yang ingin diperkatakannya. Sekurang-kurangnya mereka terasa dirinya dihargai.

3.Menengking-nengking

Sengaja atau tidak, anda mungkin pernah menengking di hadapan murid / anak. Tambah-tambah bila mereka melakukan kesalahan dan sukar untuk didisiplinkan. Hakikatnya, ia sebenarnya tidak dapat membantu dan membentuk murid ini menjadi seorang yang disiplin. Pesanan dan nasihat dalam nada keras hanya akan membuatkan mereka tidak keruan dan tidak faham dengan apa yang anda cuba sampaikan.

Dari segi psikologi, ia sudah tentu tidak baik untuk murid. Kenapa? Pada saat anda menengking dan menjerit, murid akan berasa takut dan sakit hati. Sekalipun mereka akur dengan arahan, khuatir murid ini akan berfikir anda tergamak menengkingnya begitu. Sedangkan mereka sebenarnya tidak tahu apakah kesalahan yang dilakukan.

Penelitian turut menunjukkan, murid yang sering ditengking akan berisiko mengalami gangguan perilaku dan stress kerana trauma ketika kecil. Sehinggakan mereka terdorong untuk berbuat hal yang sama ketika menyelesaikan sebarang masalah.

4. Setiap murid itu berbeza

Setiap murid mempunyai karakter yang berbeza. Antara murid A tidak boleh disamakan dengan murid  B, meskipun mereka ini kembar. Misalnya,  murid A boleh didisiplinkan dengan kata-kata, namun belum tentu kaedah yang sama boleh dibuat kepada murid yang B atau C. Jadi, anda perlu mengenali karakter setiap murid, sebelum dapat memahami dan membentuk perilaku mereka.Perlakuan yang berbeza ini bukan bermakna anda tidak berjaya dan konsisten, tetapi ia bergantung kepada keperluan dan respon murid-murid terhadap tindakan anda.  

Sumber: ruangguru.com