SEREMBAN - Pesta Bola Sepak dan Pemakanan Sihat melalui program "Eat Right to Play Right" berlangsung meriah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rasah Jaya baru-baru ini.

Program anjuran Zurich Malaysia itu dilaksanakan dengan kerjasama Organisasi One Goal Malaysia bersama komuniti seluruh negeri ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Philip Smith, program ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang
dilaksanakan pihaknya bagi memberi kesedaran penjagaan kesihatan dan pemakanan sihat.

Katanya, selain ingin dekat dengan masyarakat, Zurich Malaysia  juga ingin mendidik komuniti cara penjagaan pemakanan sihat dari segi keperluan nutrisi.

"Di Seremban ini adalah program kali ketiga selepas diadakan di  Kuching, Sarawak dan Sungai Petani, Kedah dan selepas ini kami akan ke Sabah pula untuk penganjuran program yang sama seperti ini.

"Tabung Yayasan Z Zurich yang beroperasi di Switzerland telah  memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada semua Pejabat Zurich seluruh negara bagi melaksanakan program komuniti ini,"katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia Foundation (WVM) Terry Leong dan Guru Besar SK Taman Rasah Jaya, Nor Azikin
Husein, serta semua guru SK Taman Rasah Jaya.

Sebanyak 41 pasukan menyertai pesta bola sepak yang melibatkan lebih 300 peserta daripada komuniti seluruh negeri antaranya Rasah Jaya, Serting Hilir, Ayer Hitam, Pasoh, Mantin, Seremban Jaya, Sendayan dan Yam Tuan Hitam Kuala Pilah.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya bengkel nutrisi, pelbagai permainan dan pertandingan bola sepak pelbagai kategori.

Pemenang membawa pulang piala, trofi pasukan, serta baucer membeli-belah bernilai RM2,500  kepada setiap pasukan yang menang.