Kaedah pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 ini berlainan dengan cara sebelum ini.

Jika dahulu, guru menulis di papan hitam dan pelajar akan menyalinnya menjadikan nota tetapi kini pelajar diberi tugasan mengenai sesuatu topik dan mereka akan membentangkannya di hadapan kelas.

Namun, ramai yang kurang 'menyengat' apabila dikehendaki membuat pembentangan ini.

Tip berikut boleh dijadikan panduan pembentangan tugasan seseorang pelajar.

1. Maklumat yang ringkas

Jika anda melihat pakar pembentang di luar sana, mereka membuat pembentangan menggunakan gambar atau ayat yang ringkas dan mudah difahami.

Lazimnya, maklumat penting itu banyak dan tidak mungkin dapat diringkaskan.

Di sinilah kreativiti anda diperlukan untuk highlight maklumat yang ringkas dan penting sahaja.

2. Pilih 'font' yang baik

Ramai pelajar yang mengambil remeh dalam pemilihan font sesuai dalam bahan pembentangan mereka.

Font mampu mempengaruhi kesan dalam pembentangan yang anda lakukan.

Seeloknya tidak menggunakan font yang serabut.

Paling penting dalam pemilihan tulisan adalah mudah untuk dibaca.

Jika susah dibaca, ia akan memberikan emosi negatif kepada audiens untuk fokus kepada anda.

3. Guna gambar yang efektif

'A Picture is Worth a Thousand Words'?

Anda kena bijak memilih gambar yang boleh digambarkan seperti ini.

Elak guna gambar yang penuh teks dan perkataan kerana ia menjadi kurang efektif.

4. Rangka dan rancang maklumat anda

Bagi menghasilkan pembentangan yang baik dan mempunyai maklumat jelas dan menepati tajuk, ia memerlukan masa dan perangkaan.

Anda perlu merangka terlebih dahulu maklumat yang mahu disampaikan.

Kemudian, kumpulkan dahulu tajuk besar yang anda mahu ketengahkan dalam satu-satu topik dan pilih mana yang terbaik untuk disampaikan.

Barulah anda mencari isi kandungannya.

Anda perlu memastikan mesej yang disampaikan ringkas dan mudah difahami.

5. Membuat latihan

Ramai yang gagal membuat pembentangan yang baik adalah kerana tidak melakukan latihan.

Ayat klise seperti 'practise makes perfect' sebenarnya suatu yang sangat berkuasa.

Mana-mana aktiviti yang didatangkan dengan latihan berterusan mampu memberikan sesuatu 'outcome' lebih sempurna.

6. Elakkan baca slaid

Anda mesti selalu melihat kawan-kawan membuat pembentangan dengan membaca slaid, bukan?

Ingat, itu adalah cara yang salah. Itu menunjukkan anda tidak benar-benar faham dengan pembentangan yang dilakukan.

Slaid adalah latar belakang visual pembentangan untuk menjadikan penerangan lebih menarik atau sebagai sedikit ingatan kepada anda ketika berucap.

Ia bukan berfungsi seperti buku untuk anda membaca keseluruhannya.

Apabila anda membelakangi audiens, ia akan 'mematikan' hubungan komunikasi dua hala antara anda dan audiens.

7. Membuat hubungan dengan audiens

Pembentangan yang baik seharusnya memiliki komunikasi dua hala.

Justeru, anda perlu berinteraksi ataupun bercakap dengan audiens.

Kemahiran dalam bermain emosi seperti membuat unsur kelakar dan sebagainya mampu mewujudkan hubungan kepada audiens dengan lebih baik.