Keluhan dan kebimbangan Guru Matematik Sekolah Kebangsaan Seri Suria, Taman Tan Yew Lai Kuala Lumpur, yang juga Tenaga Pengajar Utama Pembelajaran Matematik Secara Inkuiri (PMSI) Pusat STEM Negara, Cikgu Muhammad Rauf Fathi Hamid Latif ini mendapat perhatian ramai.

Beliau menyeru, ibu bapa turut sama membantu guru memandaikan generasi akan datang, dengan memberikan anak-anak ini semangat juga ilmu yang secukupnya.

1. Saya mulakan dengan laporan PISA tahun 2018 merangkumi subjek Sains dan Matematik secara umumnya. Indeks Kemampuan Kognitif pelajar kita amat rendah. Kita berada pada kedudukan 60 daripada 64 negara yang terlibat.

2. Saya kongsikan pula analisis UPSR 2019:

a  Seramai 445,641 calon telah menduduki UPSR pada tahun 2019.

b. Daripada jumlah tersebut 16.87% murid gagal dalam Matematik (75 179 orang)

c. Manakala, 47.1% murid memproleh D dan E (209 896 orang)

d. Hal ini membuktikan lebih 75,179 orang murid lemah serta tidak mencapai tahap minima Konsep Asas Matematik.

e. Lebih membimbangkan secara umumnya satu daripada enam orang murid telah gagal dalam UPSR pada tahun 2019.

3. UPSR 2020 sudah dimansuhkan. Berdasarkan fakta di atas, anda bayangkan apa yang bakal berlaku pada anak-anak era Covid-19.

4. Pada tahun ini, 2021 kita bakal menyaksikan anak-anak Tahun Lima di sekolah rendah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan (KSSR Semakan). Ya, pasti ada beberapa perubahan dan penambahbaikan kandungan (silibus).

5. Perlu kita sedar, perubahan KSSR bukan bertujuan memberi tekanan kepada anak-anak kita. Sebaliknya bagi memastikan anak-anak kita mampu menyediakan diri seterusnya bersaing pada peringkat global atas tuntutan semasa.

6. Anak-anak seluruh dunia pada hari ini bukan sekadar menghafal 3 x 2 = 6 semata-mata, sebaliknya mereka kini mampu membuktikan mengapa dan bagaimana pernyataan tersebut dibentuk. Jika kita tidak melakukan perubahan terhadap kurikulum kita, pasti anak-anak kita akan ketinggalan.

7. Berdasarkan perkongsian tadi, banyak yang perlu kita lakukan bersama. Berat bagi kita sebagai ibu bapa, berat juga tugasan guru-guru Matematik di sekolah.

8. Menarik minat murid belajar, menghadirkan keseronokan dalam sesi PDPC Matematik, menyelesaikan masalah murid tercicir dek kerana pandemik Covid-19 dan menyelesaikan sukatan pembelajaran(silibus) dalam tempoh masa yang singkat adalah tugas dan cabaran buat Cikgu Matematik anak kita.

9. Mari kita bersama-sama sebagai ibu bapa memastikan anak-anak kita terus belajar, kekal relevan serta mampu bersaing dalam zaman yang serba mencabar ini.

10. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk terus menyediakan anak-anak ganerasi masa hadapan sebaik mungkin.

Gambar: Magda Ehlers dari Pexels

11. Sementara cuti sekolah yang masih berbaki ini, ibu bapa bolehlah cuba jadi ‘guru di rumah’ dengan mengajar anak-anak beberapa pecahan subjek Matematik.

Asas Nombor

  • Bimbing anak mengenal nombor ikut kebolehan dan tahap anak
  • Bantu mereka kenal Nilai Tempat dan Nilai Digit.
  • Bila mereka dah kenal Nilai Tempat Dan Nilai Digit, automatik mereka tiada masalah dalam Cerakin Nombor.
  • Membundar Nombor. Ini isu utama murid Tahap 1. Kalau kita berjaya selesaikan lega banyak cikgu.

Operasi Asas

  • Bagi anak Tahap 1 boleh bimbing guna abakus untuk operasi tambah,  tolak, darab & bahagi. Abakus ada dalam sukatan dan silibus ye!
  • Kuasai Sifir. Puas dah suruh anak hafal tapi tak boleh? Tak apa. Kita ajar dia cara bina sifir. Berpuluh-puluh cara bina sifir ada, ibu bapa boleh Google saja.

Pecahan, Peratus, Perpuluhan dan Pertukaran Unit, 4P

  • Kembar empat beradik ini syarat wajib kuasai kalau nak cemerlang Matematik.
  • Jangan pisahkan Pecahan, Peratus dan Perpuluhan. Bimbing anak perkaitan antara ketiga-tiganya.
  • Bila anak dah kuasai perkaitan ketiga-tiganya, automatik tiada masalah dalam Pertukaran Unit.

Formula asas

  • Sekolah rendah tak ada pun sampai kena ingat formula 2πr dan lain-lain, jangan risau ye!
  • Cukup boleh kuasai cara kira Perimeter, Luas dan Isipadu. Bukan susah mana pun.
  • Untuk topik mod, min dan median pula nanti biar la anak belajar dengan Cikgu. Kalau semua kita ajar, cikgu nak ajar apa pula?

#ucurauf

#cikgumatematik