Apa yang kita boleh buat dalam masa terdekat menjelang peperiksaan yang semakin hampir? Ikuti perkongsian Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, merangkap Guru Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran ini.

1. Fokus pada hari yang masih berbaki.

Maksudnya, pelajar perlu memberi sepenuh tumpuan menjelang hari peperiksaan yang bakal tiba. Abaikan perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu fikiran. Sebarang perkara yang boleh mengganggu fikiran perlu dijauhi.

Kita biasa melihat, gangguan-gangguan hari-hari terakhir itu boleh menyebabkan kita hilang fokus sehingga mengganggu tumpuan terhadap peperiksaan yang semakin hampir.

Ibarat perlawanan bola sepak yang sudah sampai pada minit-minit terakhir, sekiranya para pemain tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap lawannya, mungkin akhirnya pihak lawan dapat menembusi gawang pasukannya akibat kecuaian sendiri. Sekiranya mereka memberi sepenuh tumpuan, mungkin pihak lawan hilang terus taringnya.

2. Pastikan semua tajuk telah dikuasai.

Jika pelajar tidak menguasai semua tajuk, bermaksud mereka belum bersedia sepenuhnya. Buat senarai semak tajuk ( tajuk besar dan sub tajuk ) dan tanda mana yang telah dikuasai. Mana yang belum, usahakan segera.

Buat nota-nota kecil dan ringkas untuk memudahkan proses mengingat secara berterusan. Nota ringkas akan memudahkan proses mengingat semula dengan lebih pantas dan mudah menjelang peperiksaan.

Buat latihan soalan sebenar. Pastikan tempoh menjawab mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Latihan menjawab ini penting untuk membiasakan diri dengan bentuk soalan dan tempoh masa menjawab sebenar nanti.

3. Belajar secara berkumpulan

Belajar secara berkumpulan lebih mudah memberi pemahaman kepadanya terhadap sesuatu tajuk. Lantiklah seorang ketua dan si ketua akan menjadi ‘guru’ kepada ahli kumpulannya.

Cara ini bukan sahaja pantas membantu, bahkan menjadikan si ketua semakin ingat dan menguasai topik-topik yang diajar kepada rakan-rakannya. Semasa saya mengambil SPM dahulu, inilah yang diamalkan dan kami belajar di kantin sekolah pada waktu petang.

Sebaiknya, biarlah ada papan hitam atau putih di tempat itu untuk memudahkan sesi perkongsian dilakukan. Cuma di musim PKP ini ada kekangannya. Mungkin boleh diwujudkan grup belajar secara maya.

4. Dampingi guru

Pada saat akhir, sentiasalah mendampingi guru. Minta tunjuk ajar dan tip-tip yang boleh membantu dalam menjawab soalan peperiksaan. Bagi pelajar yang belajar di saat akhir, inilah masanya bertemu guru-guru untuk mendapatkan tunjuk ajar.

Jangan malu. Masa sudah singkat, tahanlah telinga yang mungkin sedikit pedih. Apa yang penting, dengan tempoh yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaiknya. Rebut peluang selagi ada sehingga ketitisan yang terakhir.

5. Jaga hubungan dengan Pencipta Kita

Dalam hidup ini, tiadalah upaya melainkan dengan izin-Nya. Maka, jangan sesekali kita melupakan-Nya. Untuk adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan, jaga hubungan dengan-Nya.

“ Dan Tuhan kamu berfirman, Berdoalah pada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu………………”. ( Al-Ghaafir : 60 )