“Minggu ini, guru-guru akan mula bekerja. Setelah lebih kurang tiga bulan tidak mengajar, saya percaya, kita memerlukan sedikit suntikan semangat. Di bawah ini, saya kongsikan sedikit kata-kata yang saya ringkaskan daripada perkataan KERJA. Mudah-mudahan kita akan bersemangat untuk memulakan semula persekolahan pada minggu ini,”Cikgu Razali Saaran.

Ikuti perkongsian Cikgu Razali Saaran, Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan.

K- Kompeten

Kompetan bermaksud cekap. Kita memerlukan kecekapan dalam melaksanakan tugas supaya hasil kerjanya berkualiti dan memenuhi tahap yang sepatutnya.

Dalam tempoh masa yang terhad ini, kita perlu berusaha meningkatkan kecekapan kita dalam bekerja. Dengan kecekapan, kita dapat menyelesaikan sesuatu perkara melebihi had waktu yang singkat.

Ini bermaksud, kita tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak, sebaliknya kita mampu melaksanakan tugasan dengan bijak melalui perancangan dan pelaksanaan yang terbaik.

Walaupun sifat makhluk tidak sempurna, kita perlu belajar dan berusaha untuk meningkatkan kecekapan agar dapat memaksimumkan hasil dengan kos yang minimum ( tenaga, masa, Wang).

E- Eksplorasi

Kerja adalah satu perjalanan yang luas. Untuk menjadi pekerja yang baik, jangan sekadar duduk selesa di bawah tempurung yang sama. Keluarlah dari zon selesa dan belajarlah sesuatu yang baru, terutamanya pada musim virus yang mencabar ini. Kita percaya, situasi hari ini akan menjadikan kita lebih kreatif dan berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Kita wajib percaya, sesuatu ujian itu, Allah datangkan bersama-sama hikmahnya.

R- Refleksi

Untuk menghasilkan kerja yang baik, sentiasa menilai dan menambah baik. Kita tidak sentiasa betul dan kita perlu berusaha memperbaiki kelemahan yang ada. Oleh kerana situasi hari ini sangat baru dan berbeza, kita perlu menilai hasil kerja kita secara berterusan supaya kita akhirnya beroleh dapatan yang bersesuaian dengan keadaan sekarang.

J- Juang/Jihad

Kerja adalah satu perjuangan atau pun usaha yang bersungguh sungguh dengan tujuan mencari keredaan Allah. Dengan komitmen dan semangat juang yang tinggi, Insya-Allah hasil kerjanya berkualiti dan dapat mencapai matlamat kerja yang telah ditetapkan. Keadaan hari ini sangat mencabar.

Maka, ini perjuangan kita dalam memastikan SOP keselamatan dilaksanakan dengan sebaiknya dan para pelajar dapat dipersiapkan dengan sebalik mungkin untuk menghadapi peperiksaan. Jangan kita patah semangat kerana kita adalah Barisan Hadapan di sekolah.

A - Amanah

Amanah adalah umpama pakaian bagi pekerja.  Orang yang amanah akan tenang hatinya dan orang yang mendapat manfaat daripada kerja mereka pasti rasa gembira. Selagi mana kita menjaga amanah, Insya-Allah kita akan dipelihara Allah daripada sebarang keburukan. Teruskan bekerja dengan penuh amanah, mudah-mudahan Allah berkati rezeki dan memberikan kita kesihatan yang terbaik untuk kita terus menyumbang tenaga dalam organisasi.

"Pekerja cemerlang, organisasi gemilang"