JARAK offroad sejauh 18 kilometer melalui jentera pacuan empat roda yang memakan masa selama dua jam, membelah gunung-ganang serta hutan belantara antara cabaran besar yang perlu dihadapi untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi, Cameron Highlands.

Cabaran makin getir apabila terpaksa melalui jalan sempit hinggakan sekiranya tersilap langkah maka gaunglah tempatnya, namun bagi menemui pemain bola sepak dikenal sebagai 'The Botaks', halangan itu diharungi juga penuh sabar.

Perjalanan yang penuh mencabar, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat ShekhinahPR dan beberapa lagi penyumbang lain yang menyertai misi khidmat masyarakat anjuran pasukan bola sepak amatur yang beraksi dalam liga Lembah Klang, The Ohana FC dalam #ProjekKasutBolaOhana buat anak-anak orang asli di Perkampungan Orang Asli, Lemoi.

Siapa sangka biarpun hanya 57 murid lelaki secara keseluruhan namun di situlah tersembunyinya permata bola sepak di tengah belantara yang berjaya mengharumkan nama SK Lemoi dengan muncul juara Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Cameron Highlands (MSSD) 2019 seterusnya akan beraksi mewakili daerah itu pada peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang selepas ini.

Bagi Christopher Raj yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR iaitu rakan strategik Projek Kasut Bola Ohana kali ini, sumbangan itu sedikit sebanyak diharap dapat membantu anak-anak orang asli di SK Lemoi yang mempunyai bakat terpendam dalam sukan bola sepak.

“Projek Kasut Bola Ohana adalah satu misi khidmat masyarakat yang begitu unik serta dekat di hati kami.

"Biarpun ShekhinahPR terlibat dalam banyak khidmat masyarakat sebelum ini namun projek ini adalah lain daripada lain. Kita berasa gembira dapat membantu permata bola sepak yang tersembunyi jauh di belantara ini," katanya.

Cikgu Mohd Shafiq (berdiri, kiri) bersama wakil ShekhinahPR dan The Ohana FC menjalankan program khidmat masyarakat #ProjekKasutBolaOhana bagi membantu pasukan bola sepak orang asli dari SK Lemoi, Cameron Highlands.

Beliau berharap sumbangan berupa kasut bola dan beberapa kelengkapan sukan dalam projek itu sedikit sebanyak memberikan tonik serta semangat kepada anak-anak orang asli untuk terus mengejar impian bergelar pemain bola sepak terkenal satu hari nanti.

Dengan keadaan yang serba daif dan kekurangan, ia tidak menjadi penghalang buat anak-anak Orang Asli daripada suku kaum Semai ini mempamerkan potensi mereka.

Lebih manis, dua orang pemainnya iaitu Robin Zali dan Lasaros Anuar yang masing-masing berusia 12 tahun berjaya mencuri perhatian untuk dipanggil bagi menyertai pasukan B-12 Pahang dalam masa terdekat.

10 kali jahit kasut bola

Bakat besar pemain bola sepak The Botaks ini hasil kegigihan tiga guru yang tidak pernah jemu melatih mereka.

Cikgu Mohd Syafiq Mohd Karim, Mohd Akmal Haffiz A Karim dan Zulzaidi Hashim yang bertindak sebagai jurulatih pasukan SK Lemoi ini wajar diberi pujian kerana mampu menyerlahkan permata walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Cikgu Mohd Syafiq berkata, beliau sangat berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh The Botaks walaupun tidak mempunyai kemudahan yang sempurna.

“Saya sudah lima tahun berada di SK Lemoi. Memang pasukan ini sudah mempamerkan taring dalam kejohanan di peringkat daerah namun kelengkapan dan segalanya adalah serba kekurangan. Kasut bola pun boleh dijahit sampai 10 kali kerana sering koyak.

“Perangai anak-anak orang asli ini lain daripada yang lain. Mereka mudah menerima arahan yang diberikan dan begitu menghormati kami selaku cikgu. Saya rasa mendapat pengalaman yang sangat berharga dapat mengajar mereka,” katanya.

Kasut bola yang disumbangkan menerusi #ProjekKasutBolaOhana untuk The Botaks.

 

Menurutnya, pihak sekolah memiliki pemain yang terhad yang terdiri daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam tetapi mereka semua berkualiti.

"Walaupun jumlah murid lelaki terhad tetapi mereka semuanya pemain berkualiti dan mewakili sekolah. Sejak kecil mereka hanya bermain bola sepak," katanya.

Sementara itu, Cikgu Akmal Haffiz berkata, beliau mula mengajar di SK Lemoi pada 2014.

"Ketika itu pemain agak malu dan rendah diri apabila bertemu lawan kerana tidak mempunyai jersi, but bola dan kelengkapan lain yang serba kekurangan. Saya terpaksa membawa but lama untuk dijahit semula dan disesuaikan dengan mereka.

“Dari segi komitmen, mereka memang memberikan sehabis baik tapi mungkin dari segi psikologi, kelengkapan membuatkan mereka berasa serba kerdil tetapi saya harapkan dengan bantuan dari Projek Ohana dan beberapa sumbangan sebelum ini, ia akan membuatkan mereka lebih bersemangat,” katanya.

Cikgu Zulzaidi pula berharap beliau dapat membawa perubahan kepada anak-anak Orang asli di SK Lemoi.

"Mereka bukan asing bagi saya kerana saya juga adalah orang asli dari kaum yang lain. Cuma bezanya mereka tinggal di pedalaman manakala saya tinggal di kampung di Maran, Pahang.

“Bila sudah mendapat sumbangan dan tajaan seperti ini, kami harap dapat melakukan yang lebih baik untuk SK Lemoi," katanya.

Kata beliau, sebagai persediaan Untuk tahun hadapan, mereka sudah mula melatih pemain pelapis terdiri daripada murid Tahun Dua dan Tiga kerana ramai pemain akan tamat belajar selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Lebih kurang 20 pemain pelapis yang ada menggantikan mereka yang telah tamat Tahun Enam.

“Tujuan saya untuk membawa perubahan pada kampung ini dan berharap saya dapat menjadi idola buat mereka di sini," katanya.

Aksi lincah Lasaros di padang berjaya mencuri perhatian hingga dipanggil menyertai pasukan B-12 Pahang.

Ciapan Cikgu Hanisah tarik sumbangan

Jika tidak kerana ciapan Cikgu Hanisah Mat Hussin di Twitter sudah tentu tidak ada yang akan mengenali The Botaks dan menyampaikan bantuan yang diperlukan.

“Saya seorang yang aktif dalam media sosial terutamanya Twitter dan Instagram. Jadi selepas mereka menjuarai peringkat daerah, saya bercerita mengenai kekurangan kelengkapan mereka di Twitter dan saya dihubungi Hanif Miswan (pengacara dan pemain The Ohana FC).

“Sebelum ini ada juga yang memberi sumbangan namun tidak sebesar Projek Ohana kali ini,” katanya.

Setiap kali latihan The Botaks mendapat sokongan padu penduduk sekitar.

Menurut Cikgu Hanisah, beliau sudah 10 tahun mengajar di SK Lemoi yang muridnya terdiri daripada tiga kampung berdekatan iaitu, Kampung Lemoi, Kampung Telimau dan Kampung Cenan Cerah.

"Akses untuk ke Kampung Cenan Cerah adalah paling sukar kerana hanya boleh ke sana dengan berjalan kaki, kalau melalui motor pun hanya separuh jalan sahaja selain perlu melalui sungai,” kata Hanisah yang menggunakan nama 'Bungolale' untuk akaun Twitter dan Instagramnya.

Katanya, murid dari Kampung Cenan Cerah perlu berjalan kaki selama dua jam untuk ke sekolah walaupun mereka tinggal dia asrama tetapi murid ulang-alik secara beramai-ramai pada pulang ke rumah masing-masing setiap Jumaat dan kembali semua ke sekolah pada Ahad.

“Mereka mudah diurus kerana sangat patuh dengan arahan. Melihat kesungguhan mereka, seawal usia tujuh tahun sudah berjalan kaki sendiri ke sekolah, jadi apa lagi alasan kami untuk tidak memberikan yang terbaik buat mereka.

"Saya sudah jatuh cinta dengan tempat ini dan akan berusaha yang terbaik untuk mereka," katanya.

Dengan disiplin, kualiti, keihklasan yang ada pada The Botaks tidak mustahil anak-anak Orang asli dari SK Lemoi ini akan terus melangkah mencapai impian bergelar pemain bola sepak Harimau Malaya.

Hari ini berjumpa di SK Lemoi, sedikit masa lagi kita bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil!.

Robin yang turut terpilih untuk menyertai pasukan B-12 Pahang.

Gaya seorang bintang yang bakal berkilau dalam arena bola sepak.