“Ia ibarat impian jadi kenyataan.” Itu reaksi spontan atlet muda pecut Perak, Muhammad Azeem Mohd Azmi yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh selepas sah diserapkan menyertai program pelapis skuad kebangsaan.

Menurut Azeem, pemilihannya selaku atlet pelapis kebangsaan dilihat sebagai satu pencapaian terbaik buat dirinya setakat ini.

“Saya memang tidak pernah menyangka akan terpilih menyertai program atlet pelapis negara kerana usia saya masih muda. Bila dapat tahu saya terpilih, saya sangat bersyukur. Memang tak pernah sangka saya akan sampai sehingga tahap ini.

“Sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini. Alhamdulillah setakat ini saya tidak rasa tertekan dan masih boleh menguruskan perkara yang perlu saya lakukan terutamanya untuk belajar selain menjalani latihan,” katanya di Ipoh semalam.

Azeem berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail ke SMK Gunung Rapat, Ipoh.

Turut hadir bapanya, Mohd Fahmi Tajuid serta jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata, Muhammad Amir Izwan selain Azeem ditawarkan program sama bagi membolehkan MSN menyelia dan memantau perkembangan remaja berusia 15 tahun tersebut.

“Untuk sementara kita biarkan Azeem berlatih di SMK Gunung Rapat di bawah pengawasan jurulatihnya dan kita akan memantau (perkembangannya) dari situ. Tugasan Azeem hanya akan bermula tahun hadapan. Kita dah masukkan dia dalam pasukan program pelapis kebangsaan.

“Kalau ikut program pelapis kebangsaan, pangkalan Azeem adalah di Bukit Jalil tapi kita tumpukan di sini (SMK Gunung Rapat) sesuai dengan keadaan dia untuk ambil Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3),” katanya.

Nama Azeem yang kini digelar ‘Usain Bolt Malaysia’ mula menjadi sebutan selepas dia beraksi cemerlang pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-61 di Johor baru-baru ini.

Anak muda berasal dari Teluk Intan itu berjaya mencatatkan tiga rekod baharu kejohanan, masing-masing bagi acara 100 meter (m), 200m dan lompat jauh kategori lelaki bawah 15 tahun.

Artikel berkaitan:

'Untuk sementara, Azeem berlatih di SMK GUnung Rapat sesuai dengan keadaannya untuk ambil PT3'