CUTI sekolah tiba lagi. Masa cuti yang panjang seeloknya dimanfaatkan dengan berkesan oleh adik-adik di rumah.

Di sini saya nak cadangkan 20 aktiviti cuti sekolah yang paling popular dan bermanfaat untuk adik-adik lakukan sepanjang cuti sekolah ini.

Buat ibu bapa pula, laburkanlah sedikit wang anda bagi pengisian yang bermakna buat anak-anak. Semoga cuti sekolah ini dapat terisi dengan sebaiknya!

1) Kem motivasi

Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.

2) Kem ibadah

Ini juga merupakan kem yang baik untuk adik-adik. Kem Ibadah selalunya akan dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan al-Quran dan aktiviti pemantapan iman. Malahan kini juga ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih adik-adik untuk mempelajari teknik menghafal al-Quraan. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing adik-adik melayari kehidupan ini ke jalan yang benar.

3) Klinik sukan

Bagi adik-adik yang meminati sukan pula serta berhajat untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, saya cadangkan mengikuti Klinik Sukan. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, terutamanya bagi sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal, tenis, badminton, renang dan golf. Bagi yang berkemampuan, bolehlah melantik jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.

4) Belajar ICT

Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan mereka mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

5) Kursus pendek bahasa

Ini juga merupakan kursus yang bagus untuk adik-adik. Mempelajari bahasa tambahan dapat memberi kelebihan buat anda. Bagi yang lemah menggunakan Bahasa Inggeris, boleh ambil kursus Bahasa Inggeris yang banyak diadakan. Antara bahasa asing lain yang dicadangkan adalah Bahasa Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan lain-lain bahasa utama dunia.

6) Kemahiran bertukang

Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung.

7) Kraf dan anyaman

Bagi adik-adik yang suka dengan kerja tangan, bolehlah mencuba menghasilkan kraf atau pun menganyam. Kraf yang dihasilkan boleh terdiri daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan cantik.

8) Belajar alat muzik

Mempelajari penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tambahan pula jika adik-adik merupakan penggemar muzik. Mula lah belajar dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, adik-adik boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.

9) Belajar berenang

Bagi yang masih belum boleh berenang, aktiviti ini adalah amat digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk menjadikan adik-adik seorang perenang yang baik. Tak rugi jika sekiranya mempelajari kemahiran berenang. Malah jika berminat selepas ini, adik-adik boleh menjadikannya aktiviti riadah yang rutin.

10) Belajar memasak

Bagi adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?

11) Belajar menari

Ini juga adalah satu aktiviti yang menarik. Adik-adik boleh peruntukkan masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. Sekurang-kurangnya, adik-adik telah menambah satu lagi kelebihan kepada diri adik-adik. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin juga boleh cuba zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.

12) Berkebun

Berkebun memang menyeronokkan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.

13) Melancong

Bagi adik-adik dari keluarga yang berkemampuan, keluarlah pergi bercuti dengan keluarga. Aktiviti ini memang sangat menyeronokkan dan juga dapat membuka minda. Selain daripada mengeratkan hubungan kekeluargaan, aktiviti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman. Antara pilihan yang baik untuk melancong adalah tempat-tempat bersejarah, tempat menarik, taman tema, pusat pelancongan dan tempat yang belum dilawati.

14) Sukan Ekstrem

Ada juga dalam kalangan adik-adik yang meminati sukan ekstrem. Jadi apa kata gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat dalam sukan ini. Adik-adik boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang berkenaan. Tapi ingat! Utamakan keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai peralatan dan pakaian yang sesuai.

15) Bekerja sambilan

Ini juga merupakan aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. Bagi yang berminat mencari duit poket, inilah masa yang paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu. Jika niat dan tujuan betul, insha-Allah ibu bapa tak akan keberatan untuk membenarkan adik-adik bekerja sambilan semasa cuti sekolah ini.

16) Membantu datuk dan nenek di kampung

Aktiviti menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan adik-adik mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibu bapa di bandar. Banyak yang akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.

17) Menolong ibu bapa di rumah

Adik-adik yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibu bapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibu bapa. Masa untuk berbakti.

18) Melakukan kerja amal

Selain daripada membantu ibu bapa, adik-adik juga boleh melakukan kerja amal. Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang adik tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.

19) Baca novel / buku ilmiah

Bagi adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilihlah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna.

20) Ulangkaji dan persediaan tahun hadapan

Mungkin ini adalah aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun hadapan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun hadapan, adik-adik bakal berhadapan dengan UPSR, PT3 atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.

Ini lah serba sedikit 20 cadangan aktiviti cuti sekolah yang berguna dan bermanfaat kepada adik-adik dan juga ibu bapa.

Manfaatkan cuti sekolah sebaiknya dengan sasaran mempunyai sekurang-kurangnya satu nilai tambah baru kepada adik-adik tahun hadapan. Kepada ibu bapa juga, tak perlu manjakan anak pada musim cuti sekolah dengan hanya membiarkan mereka menonton tv, bermain games dan melayari internet sepanjang masa. Cubalah salah satu daripada aktiviti di atas, insha-Allah anda dan anak akan perolehi sesuatu yang bermakna cuti sekolah ini!

Sumber: Blog Cikgu Hailmi

Artikel Menarik:

Berat hati untuk sambung belajar rupa-rupanya keputusan seorang guru ini benar-benar berbaloi

'Inilah sembilan pesanan yang saya pegang ketika goyah, lemah dan berdepan ujian' - Ustazah Aminah

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun hadapan

Anak masih lemah Matematik...cikgu ini kongsi 11 tip mudah mengajar murid Tahun Satu hingga Enam