Proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara online merupakan satu cabaran besar kepada guru khususnya dalam menarik daya tumpu pelajar.

Namun, memandangkan pembelajaran secara maya sudah diterima sebagai norma baharu yang mengubah landskap sistem pendidikan negara terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu, para guru perlulah berusaha untuk menghasilkan PdPc supaya penyampaian menjadi lebih menarik.

Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib berkongsi lima tip bagaimana menghasilkan video PdPc yang sesuai dan boleh menarik perhatian pelajar.

Beliau yang tersenarai dalam 50 guru dalam Anugerah Guru Global 2020 beranggapan perkembangan teknologi dalam pendidikan merupakan satu perkara yang memberi kebaikan kepada pelajar dan guru.

Beliau kongsikan lima tip menghasilkan video PdPc yang menarik menggunakan telefon pintar bagi membantu rakan guru:

1. Telefon pintar berkualiti

Jika anda, guru yang betul-betul berminat untuk menghasilkan lebih banyak video PdPc dengan menggunakan telefon pintar maka buatlah sedikit perlaburan dengan memberi telefon pintar yang lebih berkualiti dan mempunyai ciri khusus untuk video seperti penstabilan serta ciri fokus yang boleh menghasilkan impak video lebih baik.

2. Aksesori

Sila dapatkan juga aksesori yang sesuai sebagai contohnya tripod, mikrofon dan skrin hijau.

3. Penceritaan yang baik

Guru perlulah mempunyai penceritaan ataupun 'story telling' yang baik. Ini akan membantu guru menghasilkan video PdPc yang lebih teratur dan mudah difahami guru serta pelajar.

4. Elak guna kesan melampau

Bagi menghasilkan video PdPc yang baik, guru perlu elak menggunakan kesan khas atau visual yang berlebihan kerana ia akan membuatkan pelajar mahupun guru yang menonton video tersebut terganggu. Jadi biasakan dengan menghasilkan video yang menggunakan kesan visual ringkas supaya pengisiannya dapat difahami dengan baik.

5. Menepati kehendak pelajar

Hasilkanlah video yang menepati kehendak pelajar kerana sasaran kita adalah pelajar yang menonton. Pastikan kita buat sedikit tinjauan ataupun kajian ringkas video yang bagaimana ingin ditonton pelajar supaya menjadi lebih bermakna kepada mereka untuk dirujuk dan dijadikan aktiviti dalam kelas. Jadi daripada maklum balas tersebut akan menentukan bagaimana konsep dan ciri yang perlu ada dalam video.

Artikel berkaitan:

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Kenali 15 guru hebat dan handar, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh mengenai mereka

Musim PKP: Cikgu Nazmi gigih jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

LMS sebagai pelantar norma baharu pendidikan rendah dan menengah

'Fun Learning' bantu golongan istimewa belajar elak jemu, bosan dan penat