Guru Cemerlang Pemulihan Khas SK Kg Soeharto, Selangor, Cikgu Roslee Abdul @ Mohd ini kongsi  tip murid pemulihan khas cepat kuasai kemahiran membaca dan permasalahan yang jarang diambi berat. Ibu bapa boleh ikuti perkongsian daripada Cikgu Roslee ini.

“Kongsikan SATU HARI TIGA PERKATAAN dalam Program Guru Rumah. Video dan lembaran yang saya sertakan mesra ibu bapa,  PdPR secara bersemuka pula ibu bapa yang laksanakan. Saya cuba permudahkan peranan ibu bapa yang banyak membantu di rumah. Saya hanya mencetuskan idea dan kaedah mengajar yang paling mesra ibu bapa.

“Ramai yang tanya saya kenapa SATU HARI HANYA TIGA PERKATAAN? Satu hari anak-anak pemulihan khas ini belajar beberapa mata pelajaran. Lebih baik saya berikan SATU HARI TIGA PERKATAAN kerana saya yakin anak-anak ini mudah terima ke minda mereka dan meringankan tugas ibu bapa mengajar sambil beraktiviti melalui lembaran yang saya sertakan.

“Malah lebih baik anak-anak ini menguasai bacaan dahulu, apabila mereka boleh membaca, mereka boleh memahami  apa sahaja tugasan daripada mata pelajaran lain. Saya akan terus memudahkan peranan ibu bapa kerana matlamat saya ialah ibu bapa mampu jadi guru di rumah melalui perkongsian ilmu yang mesra ibu bapa dan murid.

VIDEO boleh ditonton pembelajaran di sini

Boleh muat turun dan cetak tugasan di sini

“Selagi anak-anak ini tidak menguasai bacaan selagi itulah mereka sukar untuk buat kerja rumah mata pelajaran lain. Makin banyak kerja rumah yang mereka dapat makin tertekanlah perasaan mereka dan makin buntu ibu bapa hendak menarik anak ini untuk minat belajar secara ikhlas. Lebih baik saya berikan sehari tiga perkataan yang mereka mudah kuasai.

“Setiap hari mereka belajar tiga perkataan, lama-lama mereka akan menguasai bacaan. Maka ketika itu mereka mula yakin kepada diri mereka, di situlah datangnya secara semula jadi minat ingin belajar dalam diri mereka.

“Kalau diri kita sendiri, tidak boleh membaca secara lancar, disuruh membaca dan menulis jawapan yang diberikan oleh beberapa orang guru. Apakah kita akan buat dengan sempurna? Apakah kita faham apa yang perlu dibuat? Bolehkah orang lain paksa kita fahamkan apa yang kita tak boleh baca?

“Ini sebenarnya menimbulkan konflik dalam diri anak-anak ini yang akhirnya mereka lebih rela diamkan diri, protes dalam diri secara senyap dan inilah yang pada mata kasar ibu bapa atau guru, anak ini malas. Satu hukuman istilah yang dijatuhkan secara tidak memahami apa yang bergolak dalam jiwa mereka,”Cikgu Roslee.

Selamat mencuba semua.