Perpustakaan Laman Hikmah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif jalankan program khidmat masyarakat dan kongsi kepakaran terhadap Pusat Sumber Sekolah.

Ia melibatkan dua buah Pusat Sumber iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput dan SK Sungai Udang, Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan Perpustakaan Laman Hikmah UTeM, Azman Ayup berkata, antara objektifnya adalah mendekatkan warga Perpustakaan Laman Hikmah UTeM bersama komuniti sekitar sebagai tanggungjawab sosial.

"Program ini merupakan sumbangan Perpustakaan Laman Hikmah UTeM kepada pengurusan sekolah dengan memberikan khidmat nasihat dan bantuan dalam memastikan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dapat diuruskan secara sistematik dan efisyen.

“Ianya adalah bagi membantu mempertingkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah tersebut," katanya.

Azman berkata, mereka turut membantu sekolah berkenaan melakukan persediaan dalam menyertai pertandingan Anugerah Pusat Sumber Cemerlang di peringkat Negeri dan Kebangsaan pada tahun ini.

Mengulas lanjut, katanya, mereka turut menganjurkan Sesi Bicara Santai @ FB Live yang membicarakan topik berkenaan kerjasama antara perpustakaan, cabaran dalam arus semasa yang dihadapi serta teknologi dan gaya yang berkait rapat dengan Revolusi Industri 4.0 di peringkat pengajian tinggi dan peringkat persekolahan.

Program yang melibatkan seramai 24 staf Perpustakaan Laman Hikmah UTeM ini berjaya memupuk semangat muhibah dan mengeratkan lagi hubungan antara UTeM dan kemajuan Pusat Sumber sekolah-sekolah di negeri Melaka ini.

Artikel menarik

Lumpuh tidak halang Cikgu Mohd Yusof tawan Bukit Taisho

SJKT Sungai Ara terima dana kerajaan RM541,200 naik taraf kemudahan sekolah