Dua sekolah di Masjid Tanah di sini diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini ekoran dua beradik yang belajar di dua sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19, kata Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata sekolah tersebut ialah sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang dan sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China.

"Mereka yang terlibat ialah murid tahun enam SK Telok Berembang serta pelajar tingkatan dua SMK Lubok China dan mereka adalah adik-beradik.

"Kedua-dua mereka tinggal di Kampung Nerambai, Lubok China, Negeri Sembilan tetapi bersekolah di Melaka kerana rumah dan sekolah terletak di sempadan kedua-dua negeri. Kes positif adalah di bawah Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata lapan ahli keluarga termasuk murid dan pelajar tersebut didapati positif COVID-19 dan telah dibawa oleh petugas Kementerian Kesihatan ke hospital di Seremban, Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan kira-kira 5 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka mendapat jangkitan Covid-19 daripada ibu saudara mereka yang baru pulang dari Labuan dan hadir ke kenduri di rumah mereka pada 3 Okt lepas.

Rahmad berkata usaha mengesan kontak rapat pelajar dan murid berkenaan khususnya dalam kalangan warga sekolah terlibat untuk disaring sedang giat dijalankan.

Beliau berkata kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan di kedua-dua sekolah berkenaan juga sedang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat. - BERNAMA