Walaupun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan, namun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetap berlangsung Februari depan.  

Guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan, Dr Salbiah Mohamed Salleh berkata, calon SPM 2020 digelar sebagai calon SPM Covid-19 kerana mereka berhadapan dengan pelbagai fasa pembelajaran.

"Landskap pendidikan seluruh negara bahkan seluruh dunia telah berubah arah daripada pembelajaran fizikal kepada pembelajaran maya dan seterusnya kembali semula kepada pembelajaran bersemuka.

"Perubahan ini pasti mengganggu emosi dan motivasi pelajar.

"Namun, ia perlu dihadapi juga dengan penuh persediaan dan motivasi yang tinggi. Mahu atau tidak, calon-calon perlu menempuh peperiksaan penting ini dalam menentukan hala tuju kerjaya kelak," katanya.

Justeru, demi memastikan calon-calon SPM sentiasa bersedia, Cikgu Salbiah berkongsi enam tip emosi sihat yang boleh digunakan pelajar bagi menduduki peperiksaan SPM nanti.

Tip 1: Bayangkan imej suasana peperiksaan yang positif

Luangkan masa untuk menggambarkan suasana peperiksaan yang positif dan harmoni. Datangkan gambaran dalam minda dewan peperiksaan yang tenang, kedudukan meja dan kerusi yang selesa serta guru-guru yang ceria mengiringi anda masuk ke dewan peperiksaan.

Bayangan yang baik akan menghilangkan debaran dan rasa takut untuk melangkah ke dewan peperiksaan. Aura bayangan ini juga akan memberi keyakinan kepada anda untuk lebih tenang.

Tip 2: Fikirkan prestasi terbaik anda

Rehatkan minda dan fikirkan apakah prestasi terbaik sepanjang tempoh pembelajaran lepas. Mungkin ada antara isi karangan yang pernah dipuji guru, pernah dihargai kerana kebolehan menjawab soalan KBAT dengan baik atau kemampuan menyelesaikan soalan Matematik yang amat sukar. Fikirkan titik kekuatan dan rancang untuk menggunakan strategi tersebut dalam peperiksaan pada esok hari.

Tip 3: Fokus pada diri

Berhenti memikirkan kelemahan diri. Berhenti juga membandingkan diri dengan orang lain. Memikirkan kelebihan orang lain akan menyebabkan diri tertekan. Anda juga akan hilang keyakinan diri apabila menjawab peperiksaan.

Fokus kepada sesuatu dalam kawalan anda. Sebagai contoh anda perlu kawal pemakanan yang akan menyebabkan anda mengantuk atau lesu sepanjang peperiksaan. Sesuatu di bawah kawalan kita adalah lebih mudah diuruskan berbanding memikirkan suatu yang tidak mampu kita awasi sama sekali.

Tip 4: Peperiksaan adalah cabaran bukan ancaman

Sekiranya anda memikirkan peperiksaan sebagai ancaman besar yang akan menjatuhkan anda, anda telah melakukan kesilapan besar! Peperiksaan merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap orang yang belajar. Peperiksaan merupakan satu peluang untuk bangkit dan membuktikan kecemerlangan diri anda.

Fikirkan, sekiranya anda ingin mendapat lesen kereta. Anda perlu diuji. Begitu juga sekiranya ingin mendapatkan lesen menyelam di dasar laut. Anda bukan setakat perlu belajar menyelam tetapi juga perlu menduduki peperiksaan untuk menentukan kelayakan. Apabila lulus, tentu akan mendapat lesen. Namun jika gagal sekalipun, anda masih berpeluang mengulangi peperiksaan dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Tip 5: Dapatkan tidur yang berkualiti

Jangan sesekali memandang rendah kepada tidur. Percaya atau tidak, tidur yang baik mampu meningkatkan kreativiti, konsentrasi dan merangsang memori. Kesemuanya amat berguna sebagai bekal menjawab soalan peperiksaan besok hari. Tidur yang baik pastinya lebih baik berbanding ulangkaji saat akhir. Cuba buat dan anda akan dapat merasainya sendiri.

Tip 6: Amalkan doa Nabi Musa

Inilah doa Nabi Musa yang selalu kita dengar dan amalkan. Namun jarang dihayati maksudnya. Diriwayatkan doa ini diamalkan oleh Nabi Musa apabila debarannya sangat kencang untuk berhadapan dengan Firaun. Doa indah diajar oleh Allah untuk memberi ketenangan kepada Nabi Musa.

Amalkan doa ini supaya urusan peperiksaan anda di lapang dan dipermudahkan oleh Allah.

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksudnya :

Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.” (QS. Thaha ayat 25-28).

Tip belajar

21 kaedah belajar yang betul dan berkesan untuk bantu pelajar cipta kejayaan - Versi Cikgu Iznan

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai