Bulan hadapan, pelajar Tingkatan Lima bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sudah bersediakah menduduki peperiksaan besar itu nanti?Atau ada yang masih belum fokus? Jangan begitu, apa kata anda semak beberapa tip berikut, agar anda akan lebih fokus ketika ulang kaji. Selamat mencuba.

1. Tempat sesuai untuk belajar

Sebelum memulakan pembelajaran, apa kata anda pilih ruang yang paling selesa dan nyaman, misalnya di tepi tingkap di dalam bilik anda. Pastikan ruang atau sudut tersebut mempunyai capaian internet, juga pengudaraan dan pencahayaan yang cukup.

Bagaimana nak dapatkan sudut belajar yang menarik? Boleh baca artikel ini : Bina ruang belajar menarik di rumah, barulah semangat nak ulang kaji. Jom cuba!

2. Kemas meja belajar cantik-cantik

Meja belajar yang penuh dan tidak teratur akan menyebabkan mood belajar juga merudum. Sebaiknya, kemaslah meja anda cantik-cantik. Mana-mana barang yang tidak diperlukan, simpan sahaja di tempat lain. Pastikan meja anda itu hanya ada buku latihan, lampu belajar, laptop, alat tulis, wangian, dan juga beberapa buku rujukan.

3. Waktu belajar yang sesuai

Waktu belajar setiap orang tidakkan sama. Sesetengahnya lebih suka belajar pada waktu pagi atau malam. Terpulang… anda lebih tahu masa yang mana sesuai dengan ‘mood’ belajar anda. Jangan tidak belajar langsung sudah… macam mana nak skor A dalam SPM kan?

4. Menghafal formula

Sukar nak ingat formula dan fakta? Anda boleh catatkan beberapa fakta di atas kertas yang kecil dan berwarna-warni, kemudian tampalkan pada dinding atau ruang yang selalu anda lihat. Kaedah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda mengingati fakta dan formula yang diberikan oleh cikgu.

5. Dengar muzik yang indah

Belajar sahaja akan membuatkan seseorang itu tertekan. Sambil membuat latihan Matematik atau apa sahaja subjek, mainkanlah muzik yang tenang dan indah. Sebaiknya elakkan muzik yang selalu anda dengar, takut nanti buku entah ke mana, anda hanya leka menyanyi seorang diri dalam bilik.

6. Jangka masa belajar

Belajar juga ada jangka masanya ya. Jangan paksa diri belajar dari pagi sehingga ke malam. Takut nanti anda jatuh sakit kerana kurang mendapat rehat yang secukupnya. Sebaiknya selang-selikan waktu belajar dengan rehat, makan, dan paling penting, jangan lupa solat. Masa yang tidak terurus ini sebenarnya akan membuatkan anda kurang fokus ketika belajar, sebabnya.. anda letih dan terlalu memaksa diri untuk ulang kaji.

7. Senaraikan sasaran anda

Pasangkan sasaran anda setiap hari. Hari ini ulang  kaji Bahasa Melayu, esok Matematik dan begitulah seterusnya. Jangan ulang kaji semua subjek sekali gus dalam satu hari. Nanti anda juga yang tertekan tidak tahu nak fokus yang mana.

8. Jauhi sosial media

Jauhi sosial media atau apa sahaja permainan di dalam telefon pintar anda, khuatir anda akan terus terleka dan tinggalkan terus buku. Sebaiknya, pada waktu genting ini, anda harus gandakan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM nanti.

9. Rehat dan makan yang mencukupi

Rehatlah yang secukupnya, otak dan tubuh anda akan jauh lebih segar untuk belajar. Jangan abaikan pemakanan, ambil makanan sihat dan usah biar perut anda kosong. Kelaparan juga akan mengganggu fokus anda ketika belajar. Paling penting, minum air kosong secukupnya.

Selamat belajar buat semua.