Semua pemimpin sekolah di negara ini perlu menanam sifat bersatu padu dalam kalangan pentadbir, pendidik, dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Jelas Guru Besar SK Segali, Simunjan, Sarawak, Osman Zaini, 32, antara usaha yang dilakukan beliau, adalah budaya makan bersama antara guru-guru dan kakitangan sekolah.

Selain menjaga kebajikan semua kakitangan, amalan ini juga dapat memupuk kerjasama dan mengeratkan ukhuwah.

“Budaya makan bersama ni sebenarnya sudah lama diamalkan di sekolah ini. Saya hanya meneruskan,  sebaik sahaja melaporkan diri sebagai Guru Besar pada 18 Februari 2020 lalu.

“Kami membuat kutipan pada setiap bulan untuk tabung kebajikan staf sekolah. Daripada wang tersebut kami beli bahan mentah dan barangan masakan lain untuk dimasak. Ada juga guru-guru bersedekah dan membawa lauk yang dimasak sendiri dari rumah,”jelas guru asal Kuching, Sarawak kepada GPS Bestari.

Untuk memasak, pihak sekolah meminta bantuan khidmat pekerja swasta yang rela hati untuk membantu.

Bahkan, guru-guru dan kakitangan sekolah yang berkelapangan juga turut sama membantu. Suasana harmoni ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silatulrahim yang sedia terjalin.

“Antara menu istimewa kami adalah, ikan terubuk, sayur midin, ikan gonjeng masin, sup ikan lumek, buah dabai, umai udang dan banyak lagi menu tradisional Sarawak,”jelas beliau yang merupakan guru besar termuda di Malaysia.

SK Segali, Simunjan merupakan salah sebuah sekolah pedalaman kategori 1, yang mempunyai jumlah murid sebanyak 67 orang sahaja. Manakala bilangan guru adalah 14 orang dan kaki tangan sekolah pula hanya tiga orang.

“Untuk makluman, sekarang saya terpaksa berulang alik ke sekolah dari kediaman saya di Samariang Aman, Kuching sejauh 190km pergi dan balik setiap hari. Biarpun terpaksa melalui perjalanan yang panjang, namun kepenatan itu terubat, apabila dapat meneruskan budaya kerja cemerlang Guru Besar terdahulu,”katanya.

Info!

1.Sebagai motivator dan inspirasi kepada semua guru dan kakitangan sekolah, supaya mereka mempunyai motivasi tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing

2.Meneruskan budaya kerja cemerlang Guru Besar terdahulu agar dapat memberi kesan kepada kelancaran tadbir urus sekolah yang efektif dan holistik.

4. Melaksanakan tugas dengan penuh integriti, amanah dan bertanggungjawab demi anak bangsa.

5. Menambahbaik dan meningkatkan nilai kompetensi dan sumber manusia yang lebih profesional dan beretika kepada semua staf.

6. Menerapkan dan mengamalkan nilai murni yang dapat memberi impak positif kepada atmosfera pendidikan di sekolah.

7. Mengamalkan budaya cintakan ilmu kepada semua guru agar mereka dapat memberi nilai tambah dalam diri masing-masing.

8. Mendedahkan semua kakitangan sekolah kepada amalan terbaik dalam budaya kerja, agar lebih fokus dalam pengajaran dan pembelajaran.

9. Meningkatkan jaringan dan jalinan dengan pihak berkepentingan, ke arah pembangunan fizikal sekolah.

10. Merapatkan lagi kerjasama dan ukhuwah antara sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG )