Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 akan bermula pada 20 dan 24 - 27 September depan.

Di saat-saat akhir begini, tentunya semua murid tahun enam gigih membaca dan mengulang kaji mata pelajaran yang berkaitan seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Bagi subjek Matematik, ada 10 tip untuk murid-murid Skor A dalam subjek tersebut.

Tip ini dikongsi oleh guru pakar Matematik iaitu Cikgu Shahril Othman.

Jom kita ikuti tip daripada Cikgu Shahril ini. 

1. Minat Matematik, Sayang Matematik

Semua murid inginkan A dalam Matematik tetapi tidak pernah rasa minat pada subjek ini. Sangat berlawanan dan agak mustahil akan tercapai hajat dan keinginan tersebut. Jadi, segalanya perlu bermula dengan minat dan jauhi rasa benci terhadap Matematik. Jika sudah jatuh hati pada Matematik, semua latihan akan dibuat tanpa paksaan.

 

2. Tingkatkan Kemahiran Mengira

Kebolehan mengira dengan baik adalah salah satu kebolehan yang amat perlu untuk skor A. Semua murid perlu menguasai fakta asas dan mengetahui cara pengiraan cepat supaya dapat menjawab dengan lebih baik.

 

3. Latih Diri Menjawab dalam Tempoh 1 jam

Biasakan membuat latihan menjawab soalan lengkap dalam tempoh 1 jam iaitu masa sebenar menjawab dalam UPSR. Latihan sebegini penting untuk membiasakan diri dengan masa dan mengelakkan daripada masalah tidak cukup masa ketika peperiksaan sebenar.

 

4. Latih tubi Soalan-soalan UPSR Sebenar Tahun-tahun Sebelum

Menjawab soalan-soalan sebenar UPSR tahun-tahun sebelum banyak membantu murid menguasai kemahiran menjawab. Walaupun format soalan berubah tetapi bentuk soalan tetap sama.

 

5. Ketahui Teknik Menjawab Cara Pantas

Kuasai kemahiran mengira dengan lebih cepat supaya dapat membantu menjawab dalam tempoh masa yang diberi. Baca dan jawab soalan yang ditanya pada ayat akhir setiap soalan. Bagi kertas 1, elakkan mengira sekiranya jawapan boleh diperolehi secara congak.

 

6. Jawab Soalan Mudah Terlebih Dahulu

Lihat soalan seimbas lalu untuk mengenal pasti soalan yang mudah dan boleh dijawab terlebih dahulu. Jangan menjawab mengikut urutan nombor kerana akan menyebabkan banyak masa terbuang sekiranya soalan tersebut susah.

 

7. Jangan Cuai

Pastikan menjawab dengan berhati-hati dan tidak terburu-buru. Jangan cuai pada titik perpuluhan, unit dan angka yang disalin. Bagi kertas 2, pastikan sentiasa merujuk kepada unit yang dikehendaki oleh soalan. Biasakan diri menulis unit bagi jawapan yang telah diperolehi.

 

8. Menjawab Mengikut Apa yang Ditanya

Buat pengiraan mengikut apa yang ditanya dalam soalan. Elakkan mengira sesuatu yang tidak perlu kerana boleh menyebabkan tidak cukup masa. Contoh ayat; Terdapat 120 orang murid, 10% memakai cermin mata. Berapa orang murid yang tidak memakai cermin mata? Soalan mengkehendaki bilangan murid yang tidak memakai cermin mata, jadi kira 90% BUKAN 10%.

 

9. Wajibkan Diri Membuat Latihan Sekurang-kurangnya 20 Soalan Sehari

Bijak Matematik bukan melalui pembacaan tetapi melalui latihan. Pastikan menjawab soalan latihan sekurang-kurangnya 20 soalan setiap hari tanpa paksaan. Jawab, semak dan nilai sendiri pencapaian setiap hari. Ingat.. Practice make perfect.

 

10. Gariskan Maklumat dan Kata Kunci

Di dalam setiap soalan terdapat maklumat dan kata kunci yang diberikan. Gariskan setiap maklumat yang penting dan kata kunci yang menentukan operasi terlibat. Sebagai contoh perkataan cari PERBEZAAN. Kebiasaannya akan membawa maksud operasi tolak. Sentiasa rujuk pada perkataan yang digariskan ketika membuat pengiraan.

Semoga semua calon UPSR 2018 berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang khususnya dalam subjek Matematik.

Sumber: Guru Pakar Matematik, Cikgu Shahril Othman (SK Beruas, Perak)

Cikgu Shahril berkongsi 10 tip Skor A Matematik UPSR.