MENCAPAI tahap penguasaan minimum 100 peratus untuk semua murid dalam mata pelajaran Sains bukanlah mudah.  

Jika berjaya dilakukan, sudah pasti ada program atau amalan baik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Di sini saya kongsikan sembilan tip yang mungkin boleh membantu murid-murid mencapai tahap penguasaan minimum seperti berikut:

Tip 1: Lima Minit Pemanas Memori (LMPM)  

Secara konsisten amalkan program Lima Minit Pemanas Memori (LMPM). Mulakan membaca nota atau mengulang kaji setiap hari selama lima minit mengikut konstruk mengingat fakta, prinsip, istilah, pengelasan, urutan, kaedah dan konsep Sains.

Guru atau ibu bapa boleh bantu murid dengan menyediakan soalan pantas pemanas memori ini mengikut konstruk yang saya terangkan tadi. Tujuan aktiviti ini ialah untuk mengimbas kembali apakah bentuk-bentuk item yang boleh disoal pada Kertas 1.

Tip 2: Fahami format item

Murid mesti mengetahui format soalan Kertas 1 dan Kertas 2 dengan baik. Tahu bentuk-bentuk soalan (konstruks) dan mengenal pasti aras soalan mudah, sederhana dan sukar.

Murid MULUS akan memberi fokus kepada soalan aras pengetahuan iaitu soalan mengingat semula (recall) daripada DSKP dan buku teks Sains yang dibekalkan.  

Tip 3: Intervensi MULUS

Guru dan ibu bapa boleh menyediakan soalan-soalan mengikut topik atau konstruk yang mereka belum kuasai sebagai intervensi atau latihan ansur maju.

Kenal pasti topik yang benar-benar mereka belum kuasai dan carilah bahan atau soalan yang sesuai secara berfokus.

Ansur maju bermaksud latihan dan bimbingan secara berperingkat mengikut tahap pemikiran dan kebolehan murid menguasai topik. Contoh, mungkin boleh dimulakan dengan latihan dengan bimbingan, kemudian latihan dengan menyebut kata kunci soalan dan peringkat berikutnya memberi latihan tanpa bimbingan.

Tip 4: Faham arahan soalan

Arahan soalan sangat penting dalam menjawab soalan Sains.

Contoh arahan soalan ialah  

i.   Pilih jawapan yang betul.

ii.  Apakah keperluan asas tumbuhan? Tandakan (√) pada jawapan yang betul.

iii. Lakarkan litar bersiri dengan simbol.

Perkataan yang dihitamkan ialah arahan soalan. Jika murid cakna dengan arahan soalan, risiko murid untuk memberikan jawapan yang salah adalah sedikit.

Tip 5: Faham kata kunci soalan

Kata kunci atau ‘keyword’ ialah perkara yang disoal. Kata kunci soalan perlu digariskan untuk menjawab Kertas 1 ataupun Kertas 2. Selalunya daripada kata kunci soalan kita akan mengenal pasti soalan tersebut menyentuh topik mana dalam sukatan pelajaran.

Secara ringkasnya, pemilihan jawapan untuk Kertas 1 sudah boleh dijangka berdasarkan topik atau subtopik yang dikenal pasti.

Tip 6: Konsep dan prinsip Sains

DSKP Sains sekolah rendah sangat luas. Sepatutnya murid-murid telah menguasai dan mengingat keseluruhan konsep dan prinsip Sains mudah sehingga yang sukar.

Disebabkan kekangan waktu dan juga keupayaan guru menyediakan hands-on maka banyak konsep dan prinsip yang tidak mampu dikuasai dengan konkrit oleh murid-murid. Ini menyebabkan ingatan murid tidak tekal dan kadang kala berlaku miskonsepsi dalam kalangan mereka.

Tip 7: Peruntukkan masa membaca dan membuat nota ringkas

Gaya pembelajaran murid-murid sering diganggu dengan lupaan, sikap malas membaca atau tidak mempunyai tabiat membaca secara konsisten dan cuai semasa memahami kehendak soalan.

Masalah ini saya namakan ‘tiga penyakit kanak-kanak’ yang menghadapi peperiksaan. Jika murid dapat mengatasi masalah ini, kemungkinan besar untuk murid menjawab soalan aras pengetahuan dengan tepat sangat tinggi.

Tip 8: Cuba jawab soalan-soalan sebenar

Jangan lupa menjawab soalan-soalan sebenar kertas Sains yang lepas sebagai pengujian kepada kebolehan anak-anak. Laras pembina item bagi peperiksaan sebenar sangat berbeza dengan soalan-soalan buku yang berada di pasaran. Ini sangat penting menjadikan murid betul-betul menguasai bentuk-bentuk soalan semasa.

Tip 9: Bahan grafik dan video

Sangat banyak bahan bantu belajar yang boleh digunakan untuk menerangkan murid tentang konsep daya geseran contohnya atau prinsip cahaya melalui video ataupun grafik yang dikongsi oleh guru-guru di internet.

Teliti dan fahami setiap fakta daripada konsep dan prinsip tersebut dengan jelas. Ibu bapa dan guru boleh menggunakan bahan tersebut untuk memberikan ingatan yang konkrit kepada murid-murid.

- Cikgu Zazolnizam Zakaria, SK Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang

Guru-guru yang ingin berkongsi tip belajar; tip skor A UPSR, PT3, SPM; kaedah ulang kaji saat akhir dan sebagainya, boleh die-melkan kepada [email protected]

TIP MENARIK:

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Tip skor A Matematik UPSR - Mak ayah wajib ambil tahu perkara ini

Lima tip penting buat calon yang mahu skor cemerlang Matematik UPSR

Cgu Jinggo kongsi tip belajar saat akhir - Untuk budak kelas hujung

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan