Setiap sekolah tentunya mempunyai barisan pelajar yang dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).  

Sebenarnya, PRS bukan satu tugas yang mudah.

Bagi yang menjadi ahli Rakan Sebaya, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, perlakuan, perhubungan, kemahiran, kreativiti dan keimanan supaya berupaya untuk membantu orang lain.

Menerusi portal Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, GPS Bestari kongsikan berkenaan maklumat PRS yang boleh dijadikan panduan bagi pelajar yang berminat untuk memohon sebagai ahli PRS.  

Ini perkongsiannya.

*****

PRS ialah seorang pelajar yang telah dilatih dalam bidang kemahiran asas komunikasi dan kaunseling.

Ia berfungsi sebagai seorang kawan yang berkesan kepada rakan sebaya, terutama kepada mereka yang memerlukan pertolongan.

PRS tidak berfungsi untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah rakan-rakan tetapi menjadi seorang pendengar yang peka kepada perasaan orang lain, berminat dan mengambil berat serta rela memberi khidmat dalam sistem sekolah.

Etika PRS

PRS perlu patuh pada etika berikut:

1) Amanah dan menyimpan rahsia.

2) Menerima dan menghormati rakan dan orang lain.

3) Tahu batasan dan keupayaan diri.

4) Sentiasa berusaha meningkatkan diri dari pelbagai aspek.

5) Melapor kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa tentang kes yang boleh merosakkan diri atau orang lain.

6) Merujuk kes kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa.

7) Mematuhi peraturan sekolah dan norma masyarakat dan agama.

Senarai Tugas PRS

1) Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling.

2) Membantu menggerakkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

3) Sebagai salah satu sumber kepada rakan untuk mendapat  bantuan.

4) Sebagai penghubung kepada khidmat bimbingan dan kaunseling seperti membuat rujukan jika perlu.

5) Sebagai peninjau rasa untuk membolehkan Kaunselor/Guru Bimbingan dan Kaunseling menjalankan strategi intervensi jika perlu.

6) Sebagai Model Insan kepada pelajar lain.

7) Menjadi fasilitator yang bersikap terbuka, yakin dan percaya diri, berasa selesa dan berempati.

8) Menerima rakan secara terbuka dan tanpa syarat.

9) Mendengar, menjelas dan membantu rakan melihat beberapa alternatif sebelum membuat keputusan.

10) Memberi sokongan dan galakan untuk rakan mengambil langkah positif.

11) Mematuhi etika kerahsiaan.

12) Menyedari bahawa bukan semua masalah boleh diatasi.

13) Berbincang dan membantu rakan yang menghadapi masalah biasa/normal.

14) Memimpin rakan melihat masalah dengan objektif dan mengalakkannya mencari.

15) Menjalankan program membantu sambil mempengaruhi rakan lain supaya melibatkan diri.

16) Mengutamakan kesejahteraan diri dan memahami batasan diri untuk membantu.

Sumber: Portal Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur

Artikel menarik

SK Sungai Binjai anjur majlis penghargaan buat sukarelawan

Ikuti tip H-O-L-I-D-A-Y ini untuk manfaatkan cuti sekolah anda