JUARA bertahan kategori Bawah 16 tahun, Samuel Lee dari Pulau Pinang tidak diberi laluan mudah sebelum mengesahkan slot ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS bagi Divisyen Satu semalam.

Berdepan wakil Kuala Lumpur, Hooi Shao Herng, Samuel menang 21-11, namun tewas 19-21 di set berikutnya sebelum mengesahkan status sebagai pemenang dengan kemenangan 21-13.

Samuel akan berdepan pemain Johor, Liew Xun yang menang ke atas pemain Sabah, John Chua Gun Yang 21-9, 21-6 untuk memburuslot ke suku akhir.

Pilihan kedua, Chua Jin Yang dari Selangor pula mengekalkan status sebagai pencabar utama selepas mudah menundukkan pemain Kuala Lumpur, Bryan Chang Khai Yang 21-11, 21-14.

Jin Yang akan berdepan pemain Pulau Pinang, Jayron Chua yang menang ke atas wakil Sabah, Muhd Khairul Syafiq 21-12, 21-10. Kategori Bawah 16 tahun perempuan pula menyaksikan pemain pilihan, Arena Satu Samin dari Sabah tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil Selangor,

Siti Nurshuhaini Azman 21- 18, 21-11.

Turut mara pilihan kedua dari Selangor, K Letshana yang mudah menundukkan seorang lagi wakil Sabah, Vellery Yap 21-7, 21-2.

Saingan Divisyen Dua di Alor Setar, Kedah bagi saingan perempuan Bawah 16 tahun menyaksikan pilihan pertama, Tan Yian Yee dari Melaka meneruskan cabaran ke separuh akhir selepas menang 21-16, 23-21 ke atas pemain Sarawak, Kashley Kho Tze Yin.

Yian Yi akan berdepan Chew Jia Wern dari Perak yang menang ke atas rakan sepasukannya, Chew Jia Hui 21-12, 19-21, 21-19.

Pilihan kedua, K Yeshveeni dari Kedah menceriakan penyokong yang hadir selepas mengatasi wakil Sarawak, Audrey Vanessa Chee 21-12, 21-14 untuk melengkapkan jadual separuh akhir bertemu pemain Negeri Sembilan, Vanessa Ng Po Lyn.

Saingan lelaki Bawah 16 tahun pula menyaksikan kejutan berlaku dalam acara beregu lelaki.

Gandingan Muhd Danish Anuar-Syed Zubir Syed Mustaqim dari Perak melakar kejutan menewaskan pilihan kedua, Low Yan Tat-Teo Jie Sern dari Melaka 19-21, 21-14, 21-17 pada pusingan kedua.