Tidak dinafikan masih ramai guru yang belum bersedia sepenuhnya untuk mengajar dalam norma baharu. Ditambah pula dengan pelbagai luahan ibu bapa dan teman-teman sejawatan, menjadikan guru yang bermotivasi juga boleh kecundang secara perlahan-lahan.

Sebagai persediaan kali pertama berGoogleMeet, boleh ikuti saranan Guru Bahasa Arab, SK Sungai Binjai, Meru Klang, Cikgu Norhasnida Yaakub.

Pengajaran secara maya ini sememangnya amat mencabar kerana ia perlu dihadapi sepenuhnya oleh guru secara bersendirian.

Justeru, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh guru-guru yang new bies (kali pertama) ingin mengajar secara maya ini?

Diharapkan tip yang dikongsikan ini membantu persediaan guru-guru agar kurang gemuruh sewaktu mengajar kelak.

1) Kenal pasti aplikasi yang ingin diakses :

Guru perlu memilih terlebih dahulu sama ada Google Meet (GM) Microsoft Teams (MT) atau Zoom Meetings (ZM). Meskipun fungsi asas setiap portal adalah hampir sama, namun ada juga beberapa perbezaan yang perlu dikenal pasti.

Yang agak popular ketika ini adalah Google Meet kerana dipautkan terus ke Portal DELIMA KPM. Pelbagai fungsi dapat digunakan dalam aplikasi ini khas untuk guru-guru KPM. Juga boleh diakses dengan baik menerusi emel E-Didik (sekolah swasta)

2) Cari sumber maklumat secukupnya :

Sebelum memulakan kelas maya, sebaiknya guru mencari guru / teman yang mahir sebagai rujukan. Kenal pasti pembimbing yang boleh menjadikan hasrat guru terlaksana dengan baik. Sebaik-baik bimbingan adalah secara kumpulan kecil dan dibuat secara terus di aplikasi pilihan mereka seperti GM.

Minta pembimbing untuk menunjuk ajar cara-cara rakaman semasa kelas berlangsung serta bagaimana untuk memuat naik bahan tersebut di YouTube atau kelas-kelas anda.

3) Kenal pasti bahan-bahan bantu :

Jika guru berhasrat menggunakan Power Point Presentation, maka guru perlu menyediakan slides bagi tajuk yang berkaitan. Slides yang baik TIDAK TERLALU SARAT DENGAN PERKATAAN DAN GAMBAR.

Begitu juga jika guru ingin menggunakan pautan tertentu semasa kelas. Guru boleh sediakan satu group WhatsApp khusus untuk mengumpulkan bahan-bahan pengajaran sebagai rujukan pantas.

4) Kenal pasti tahap capaian internet :

Bagi guru-guru di pedalaman mungkin hadapi masalah untuk kelas maya ini. Manakala bagi guru-guru di kawasan separa bandar atau bandar perlu mengambil tindakan tertentu jika benar berminat untuk menjalankan kelas maya ini. Antaranya :

  •  Menukar kepada telco wifi yang lebih baik.
  •  Upgrade data dan kelajuan wifi anda.
  • Mencari kawasan yang mempunyai capaian lebih baik.

 Contohnya sekolah anda

5) Persediaan Kelas :

  • Jika semua langkah di atas telah diselesaikan, guru boleh mulakan persediaan berikut :
  • Sediakan peraturan kelas dan uar-uarkan sehari sebelum kelas bermula. Tegaskan agar murid-murid mematuhi peraturan yang disediakan.
  •  Sediakan link kelas dan simpan di WhatsApp bahan-bahan mengajar sebelum disebarkan di group pada esoknya.
  •  Sediakan peralatan yang diperlukan termasuk buku dan bahan bantu yang lain
  •  Periksa fungsi semua alatan. Telefon Pintar, Laptop, PC, Webcam, Headfon, Speaker, Microfon. Jika ada Ring Light, Tripod juga perlu diperiksa supaya berfungsi dengan baik.
  • Boleh mula setting setiap tempat alatan agar bersesuaian dengan kedudukan guru.
  •  Periksa semua pautan yang ingin digunakan. Cuba ajak kawan atau pasangan anda untuk menjadi murid dengan pautan yang ada.

6) Wujudkan sesi raptai penuh :

Mungkin kedengaran lucu, namun sesi ini akan mengurangkan gemuruh anda hingga 50%. Tidak perlu ramai, cukuplah hanya seorang (pembimbing anda) atau pasangan anda.

Sebaiknya pilihlah yang mahir agar beliau boleh memaklumkan jika ada kekurangan sewaktu sesi raptai kelas maya anda. Dalam sesi ini anda gunakan sepenuhnya semua Bahan Bantu yang dirancang. Jika wujud sebarang masalah anda masih ada masa untuk memperbaikinya sebelum kelas bermula.

7) Tentukan peralatan anda :

Apakah pilihan yang anda ada jika webcam anda pada laptop atau PC bermasalah? Ya, anda masih ada telefon pintar. Hantar semua slides pembentangan anda ke WhatsApp/ Telegram dan mulakan pembentangan dengan yakin.

Anda masih boleh mengajar sekalipun tiada webcam. Jadikan telefon pintar sebagai webcam anda. Login kelas dengan laptop/ komputer terlebih dahulu kemudian baru masuk kelas di telefon anda.

Kelebihannya?

  • Anda boleh lihat murid.
  • Murid juga boleh melihat anda.
  • Anda boleh melihat paparan yang dilihat oleh murid (sangat penting).
  • Anda boleh admit (terima masuk) murid yang tidak dapat masuk dengan emel MOE.

Perlu diingatkan akan berlaku Echo Noise. Anda perlu off kan semua button audio pada telefon anda dan juga pada GM di telefon. Bercakaplah seperti biasa pada microfon anda pada laptop atau komputer.

8) Tentukan sasaran murid :

Untuk kali pertama, guru-guru amat DIGALAKKAN untuk mencuba kelas anda berdasarkan kesesuaian berikut :

1) Pilih hanya SATU KELAS SAHAJA. Ambil kelas yang PALING PATUH muridnya. Mungkin juga boleh pilih kelas paling sedikit.

Pemilihan kelas untuk percubaan kali pertama ini amat penting untuk menaikkan motivasi guru dan mengekalkan momentum pengajaran hingga tamat sesi kelas

2) Tetapkan aturan kelas secara khusus (rujuk gambar 3). Aturan ini amat memudahkan tindakan guru dan ibu bapa kelak.

3) Tetapkan kelas tidak lebih dari 30 minit sahaja terutamanya murid SK. Jika masa diberi adalah satu jam, 30 minit yang berikutnya secara offline sahaja.

4) Bersedia awal dan pakailah pakaian bersesuaian untuk membangkitkan semangat guru.

5) Guru perlu masuk awal 15 minit untuk persediaan "admit" murid (terima masuk).

6) Kurangkan gangguan semasa mengajar. Jika ada anak kecil pastikan ada penjaga (untuk kelas pertama dan lebih baik jika berterusan).

7) Mulakan kelas dengan doa dan selawat. Mengajarlah dengan tenang dan ceria. Wujudkan unsur-unsur kecindan dan Energizer (permainan/senaman selang masa).

8) Kawal perasaan panik yang PASTI akan hadir ketika sebarang gangguan teknikal timbul. Ambil masa untuk guru bertenang dan cari penyelesaian perlahan-lahan. Jika perlu untuk putuskan talian kelas juga guru boleh berbuat demikian sebelum masuk semula. Jangan lupa berpesan kepada anak murid agar TIDAK KELUAR dari kelas sewaktu gangguan berlaku.

9) Arahan untuk MUTE seringkali tidak didengari oleh murid. Guru boleh gunakan pautan MUTE ALL FOR GOOGLE MEET. Panduan penggunaan boleh dirujuk kepada pautan video oleh Puan Nurul Ibtisam Yaacob https://youtu.be/__cDff63kS4.

Semoga bermanfaat buat semua...

Cikgu Wan Chu