“Kami pasti akan merindui cikgu....”

Inilah ucapan terakhir yang disampaikan sebahagian guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA) kepada pengetua, Othman Hashim, selepas berakhirnya Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi, Mei lalu.

Majlis persaraan Cikgu Othman yang hanya dihadiri sebilangan kecil guru-guru, kerana masih dalam Fasa 5 PKPB, tetap meriah kerana ia dibuat secara langsung bermula jam 2.30 petang hingga 5 petang menerusi page facebook SMKA Putrajaya Official Pages.

Selain guru dan pelajar SMAPUTRA, majlis secara maya itu juga turut ditonton oleh pelayar facebook lain pada ketika itu.

Pelbagai ucapan membanjiri live tersebut, rata-ratanya menitipkan doa dan kata semangat buat Cikgu Othman.

Sementara itu, Cikgu Othman yang telah berkhidmat hampir 10 tahun di SMAPUTRA, turut berkongsi pesanan.

“Besar harapan saya untuk melihat SMAPUTRA dapat berdiri sebaris dengan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Walaupun sukar, saya yakin sekolah ini boleh.

“Untuk warga guru, tugas sebagai pendidik itu sememangnya memenatkan, namun jika kita ikhlas, insya-Allah kita akan dapat reda ALLAH.

“Ambillah kesempatan ini untuk membina anak-anak kita itu agar menjadi orang yang hebat,” ujarnya.

Di akhir ucapan, Cikgu Othman berharap hubungan silaturahim yang sedia terjalin itu dapat diteruskan sampai bila-bila.

Malah, beliau juga bersedia membantu memberikan pandangan, sekiranya diperlukan.

Cikgu Othman bersama isteri, Siti Sapo Abdullah yang sentiasa memberi inspirasi dan sokongan sepanjang beliau menyempurnakan tanggungjawab rasmi sebagai pengetua.

APA KATA CIKGU

1) "Antara ungkapan yang akan dirindui setelah beliau bersara, adalah perkataan ‘anakku’ ketika beliau memberi pesanan kepada pelajar.

- Penolong Kanan Pentadbiran, Salmah Abd Rani.

2) "Cikgu Othman seorang yang berakhlak mulia dan berwibawa. Hampir satu dekad menerajui SMAPUTRA, daya kepimpinan, keiltizaman dan cetusan ideanya sentiasa bernas. Ia menjadi landasan kukuh ke arah memacu kecemerlangan.

- Penolong Kanan Kokurikulum, Roslah Mohd Rani.

3) "Cikgu Othman seorang pengetua berpandangan jauh. Mudah dibawa berbincang dan berurusan, serta menyokong aktiviti-aktiviti pembangunan sahsiah pelajar demi melahirkan anak-anak SMAPUTRA yang hebat.

- Ketua Panitia Pendidikan Islam, Nur Salisa Ali.