GEORGE TOWN - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Yayasan YTL dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi YES, untuk menyediakan kemudahan internet percuma kepada guru seluruh negara.

Melalui kerjasama itu, seramai 230,000 ahli NUTP masing-masing akan menerima secara percuma Kad SIM dengan 40GB data yang akan dihantar tanpa sebarang caj ke kediaman mereka.

Memorandum itu ditandatangani antara Presiden NUTP, Aminuddin Awang dan Pengarah Urusan YTL Communications, Datuk Yeoh Seok Hong di AC Hotel, Pulau Pinang di sini.

Aminuddin berkata, inisiatif seumpama itu amat diperlukan ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sektor pendidikan sedang menerapkan konsep pengajaran dan pembelajaran secara maya, sekali gus mengelak pendidikan terbantut.

Beliau berkata, langkah pertama inisiatif berkenaan adalah untuk memastikan para guru, sebagai petugas barisan hadapan seharusnya mempunyai akses data mudah alih dalam melaksanakan kaedah pembelajaran maya atau secara dalam talian.

“Langkah seterusnya menerusi inisiatif ini adalah untuk memperoleh peranti dan data bagi pelajar miskin dalam negara ini agar mereka tidak terus tercicir dalam pelajaran, setelah sesi persekolahan di seluruh  negara terjejas sejak Mac lepas,” katanya ketika berucap pada  majlis  itu di sini.

Aminuddin berkata, NUTP akan terus menyokong inisiatif YTL Foundation iaitu  "Learn From Home" dan telah memilih pelajar daripada keluarga B40 yang memerlukan telefon pintar dan data internet untuk mengikuti pelajaran.

"Kami bersyukur kerana YTL Foundation juga telah berusaha menyediakan telefon pintar dan data internet percuma, selain kandungan pembelajaran percuma untuk keluarga B40,” tambahnya - BERNAMA

Artikel menarik

Benarkah bebanan kerja jadi sebab lebih ramai guru pilih bersara awal?

Dianjurkan secara maya, program Vaksin Covid-19: Di mana Sukarelawan IPT? capai matlamat