SEJARAH tercipta apabila lima atlet High Kicks Taekwondo berjaya membawa pulang 11  emas dan masing-masing satu perak serta gangsa dalam aksi menutup
tirai 4th ITF China Taekwondo Championship 2018, baru-baru ini.

Lima atlet tersebut ialah Nurul Athikah Gaerzarly, Ahmad Fahim Al  Khadri Mohd Khaidir, Muhamad Amir Hazim Nasri, Syafiqah Yasmin Soufa dan Siti Noor Adriana  Bukhari.

Pelajar Maktab Sultan Ismail,  Nurul Athikah memperoleh tiga emas dalam kategori individu pattern (U18C), individu sparring  (U18D) dan 'pre arranged sparring
open'.

Sementara murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Putting, Ahmad Fahim Al Khadri memperoleh dua emas dalam kategori individu pattern (U12A) dan individu sparring (U12D).

Tidak ketinggalan murid dari SK Islah, Muhamad Amir memungut emas dalam kategori individu pattern (U12C) dan perak dalam kategori individu sparring (U12B).
Turut menyumbang emas buat negara ialah dua murid Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Puteri iaitu Syafiqah Yasmin, 10, dan Siti Noor Adriana, 12, apabila membawa pulang lima emas dalam empat acara.

Delegasi Malaysia diketuai Presiden High Kicks, Siti Rossilawati  Othman berkata, beliau sangat berpuas  hati apabila lima atlet ini menghadiahkan kemenangan luar biasa mengatasi peserta antarabangsa yang lain.

Katanya, kejohanan yang berlangsung di Lung Sum Avenue  Sports Center, Sheung Shui Hong Kong merupakan bukti kegigihan atlet dan kesungguhan ketua  jurulatih, Soufa Yusof.

Bukan itu sahaja, seorang lagi atlet high kicks taekwondo, Nur Shuhaida  Mahidin turut menerima Anugerah Khas Tokoh Khaulah Al- Azwar (Tokoh Sukan) sempena  HariSayyidatina Khadijah peringkat negeri.

"Nur Shuhaida muncul pemenang  pingat gangsa dalam kategori Free Sparring Perempuan bawah 16 tahun (micro weight)  di Kejohanan Dunia di Buenos Aires, Argentina, baru-baru ini.

"Kejayaan mereka perlu dijadikan sumber inspirasi untuk meraih pingat di kejohanan dunia di masa depan," katanya.

Beliau berkata, ia akan merangsang semangat atlet lain untuk  mengulangi kejayaan sama di usia muda.

Sementara itu, Ahmad Fahim Al Khadri berkata, ini  merupakan kejohanan pertama mewakili Malaysia di pentas dunia.

"Saya sangat teruja dan bersyukur kerana impian untuk menjadi atlet antarabangsa tercapai.

"Saya sendiri tidak menyangka  akan membawa pulang pingat untuk Malaysia. Alhamdulillah berkat semangat dan dorongan yang diberikan oleh ketua jurulatih, ibu bapa dan sahabat seperjuangan, saya berjaya membawa pulang pingat untuk Malaysia dan sekolah saya," katanya.