PADA kebiasaannya bila tiba cuti sekolah, pasti ramai pelajar yang memiliki peracangan tersendiri khususnya untuk bercuti serta berehat bersama keluarga tersayang selain bermain sepuas-puasnya bersama rakan-rakan sepermainan.

Mungkin juga ada yang pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti atau melancong bersama keluarga ke beberapa destinasi pelancongan menarik di dalam negara mahu pun di luar negara bagi yang berkemampuan.

Bagaimanapun, musim cuti sekolah kali ini disambut dengan agak berbeza bagi murid Tahun 5, SK Seri Ampang Ipoh Nur Aleeya Mohd Redzuan, 11 apabila menerima tawaran untuk mengikuti Latihan Pengantarabangsaan (Overseas Training Programme) Astro Kem Bola 2018 di Sepanyol mulai 24 November hingga 4 Disember.

Nur Aleeya (duduk, kiri) bersama keluarganya.

 

Ternyata tawaran berkenaan cukup mengujakan pemain bola sepak cilik ini yang begitu berminat dalam sukan bola sepak, berbanding dua kakaknya kecuali adik kembarnya yang terlibat dengan sukan boling padang (lawn bowl).

Ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini, Nur Aleeya kelihatan cukup gembira dengan tawaran yang diperolehinya itu, apatah lagi apabila dimaklumkan program berkenaan akan dijalankan di Akademi Barcelona, pasukan bola sepak yang diminatinya.

Tambahan pula, pemilihan Nur Aleeya bersama 30 pelatih lain yang melihatkan 15 pelatih lelaki dan 15 pelatih perempuan daripada seramai 2,222 pemain bola sepak seluruh negara di bawah program berkenaan dilihat sebagai peluang keemasan yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup.

Malah, peluang menjalani latihan bersama dengan rakan-rakan lain dari seluruh negara serta diiringi dua mentor di sebuah akademi bola sepak terkemuka dunia iaitu Akademi Barcelona dengan diketuai oleh jurulatih berpengalaman, Albert Batalla Fernandez itu juga boleh diumpamakan seperti mimpi yang cukup indah.

Nur Aleeya mengejar bola yang  dikawal pemain lawan.

 

Justeru, tidak hairanlah anak kembar kepada pasangan Redzuan Ahmad, 43 dan Aini Azlinda Hamzah, 44 itu dilihat seakan sudah tidak sabar menunggu tarikh berkenaan bagi menjejakkan kaki buat kali pertama ke bumi The Catalans itu.

Mengulas lanjut Nur Aleeya berkata, dirinya seperti tidak percaya mendapat peluang sedemikian kerana dia hanya menyertai Akademi Bola Sepak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI SC Academy) dan bukannya mewakili pasukan sekolah.

Katanya, SK Seri Ampang hanya memiliki pasukan bola sepak yang dianggotai oleh pelajar lelaki, namun di MBI SC Academy, dia berpeluang untuk beraksi bersama pasukan berkenaan dan menjadi pemain perempuan tunggal dalam skuad berkenaan.

“Saya tak sangka dipilih untuk ikut latihan bersama Astro di Sepanyol. Saya tak pernah main untuk sekolah kerana sekolah hanya ada pasukan bola sepak lelaki dan saya hanya main untuk MBI SC sahaja.

“Terima kasih kepada Astro kerana memilih saya untuk ikut program latihan ini. Saya cukup gembira kerana inilah peluang untuk berjumpa dengan pemain-pemain bola sepak yang saya minat, Seronoknya! ” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Aleeya, dirinya sangat meminati pemain Barcelona, Lionel Messi serta bekas penyerang Real Madrid, Christiano Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus dalam saingan Serie A, di Itali.

Selain itu, Aleeya turut meminati skuad bola sepak Perak dan cukup gembira kerana skuad The Bos Gaurus itu berjaya menjulang Piala Malaysia 2018 setelah menewaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu.

Ketika ditanya mengenai cita-citanya, Nur Aleeya berkata dia bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.

Katanya, dia mahu menjelajah ke seluruh dunia dengan bermain bola sepak dan seterusnya mengharumkan nama negara dalam sukan berkenaan.

“Tapi ayah dan ibu kata kena habis belajar dulu. Kena belajar pandai-pandai,” katanya.

Pemilihan Nur Aleeya ke Sepanyol serta prestasinya dalam sukan bola sepak dan akademik selama ini menyaksikan dirinya menerima anugerah Sukan Antarabangsa sempena Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPK) 2018, di Auditorium Tun Abdul Razak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mat Lazim Idris baru-baru ini.

Nur Aleeya menyaksikan but baharunya.