JOHOR BAHRU - Impian seorang pemain bola sepak cilik dari Kota Tinggi untuk bermain di peringkat antarabangsa dilihat cerah apabila menerima pelawaan untuk menyertai sebuah akademi bola sepak yang berpangkalan di Sepanyol.

Bagaimanapun, tawaran buat murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yun Hwa, Muhammad Hazriq Hazriel Mazlan, 11, tersebut dilihat sedikit samar apabila mengenangkan kos untuk berada di negara Latin tersebut agak tinggi.

Menurut bapanya, Mazlan Sharif, 44, anak sulungnya itu sudah menerima tawaran daripada akademi berkenaan sejak tiga tahun lalu selepas mempamerkan aksi yang baik ketika bersama akademi Bola Sepak Barcelona di Singapura.

“Memang kami dah terima tawaran ini sejak tiga tahun lalu, cuma ketika itu dia (Muhammad Hazriq) masih kecil, sekarang saya rasa usianya sudah sesuai sedikit. Untuk tahun ini pengambilannya adalah pada bulan September.

“Akademi yang anak saya ditawarkan ini adalah di Valencia, Sepanyol iaitu akademi kerjasama antara pasukan La Liga, Valencia dan Levante,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

 Aksi dipamerkan Muhammad Hazriq ketika menyertai satu perlawanan, baru-baru ini.

Muhammad Hazriq yang kini merupakan pelatih National Football Development Project (NFDP) difahamkan memerlukan kos kira-kira RM40,000 untuk menjalani latihan di negara berkenaan.

Mazlan berkata, perkara itu sedikit merunsingkan apabila dia dan keluarga sehingga kini masih belum mempunyai dana yang cukup tatkala tempoh yang semakin singkat.

“Kita ada duit sedikit tetapi jika nak kata untuk kos ini memang masih belum mencukupi, kos ini memang paling minimum untuk dia dan saya tinggal di sana.

"Kami juga perlu membawa seorang jurulatih peribadi untuk dia faham taktikal bola dan cara permainan di sana.

“Hazriq begitu gembira dapat peluang ini, sebab itu saya mohon jika ada mana-mana pihak yang sudi bantu,” katanya.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan atau berminat menjadi penaja buat pemain cilik ini boleh menghubungi bapanya di talian 019 3029008 atau terus ke akaun Maybank 101254039158 di bawah nama ibunya, Noorasykeen Suratman.

Muhammad Hazriq bersama rakan-rakannya ketika mewakili pasukan AT Johor dalam satu perlawanan bola sepak.

Artikel menarik:

Murid lain sibuk bungkus makanan dan balik rumah, murid ini capai penyapu bersihkan dewan

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Mak ayah perlu buat ini jika mahu anak mereka skor A Matematik

Kreatifnya cikgu... kaki lima sekolah kembali ceria dengan lukisan Hip and Hop Lane