SABAK BERNAM - Kejayaan atlet sukan angkat berat para Selangor, Siti Nuraisyah Shahrin meraih pingat emas pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Para, Perak November lalu, mengharumkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap.

Pengetuanya, Yusaini Salleh berkata, menyifatkan kejayaan pelajar tingkatan tiga sekolah itu dalam bidang sukan angkat berat amat membanggakan.

Menurutnya, semangat juang tinggi yang dimiliki Siti Nuraisyah  menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada pelajar lain untuk turut berjaya dalam setiap bidang diceburi.

"Kita lihat Siti Nuraisyah tidak menjadi kekurangan anggota  fizikalnya yang kudung kedua-dua belah kaki akibat kemalangan dua tahun lalu sebagai penghalang, sebaliknya bangkit dan terus berjuang dengan gigih sehingga berjaya meraih kejayaan membanggakan dalam sukan angkat berat para.

"Kita mahu semangat dan jati diri seperti yang ditunjukkan Siti  Nuraisyah menjadi contoh dan sumber aspirasi serta motivasi pelajar lain untuk mencapai kejayaan," katanya pada majlis khas Anugerah Kecemerlangan Aspirasi Diri (AKAD) SMK Bagan Terap, di sini.

Seramai 39 pelajar sekolah itu berjaya menamatkan siri latihan sebagai Pemimpin Masa Hadapan di Outward Bound School (OBS) Lumut, turut menerima hadiah dan
sijil penghargaan.

Siti Nuraisyah berkata, penghargaan diraihnya itu dianggap sebagai pembakar semangatnya  untuk meraih lebih banyak kejayaan dalam sukan itu pada masa depan.
Katanya, dia berusaha untuk meraih pencapaian lebih baik dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

"Sudah tentu kejayaan meraih emas ini menjadikan saya sentiasa berazam untuk membuktikan lebih banyak kejayaan dalam penyertaan peringkat lebih tinggi lagi.
"Doakan agar saya terus cekal demi mengharumkan nama negara suatu hari nanti," katanya.