"Semua orang tahu yang bahasa Inggeris adalah bahasa yang sangat penting untuk dikuasai.

"Misalnya dalam peperiksaan besar di Malaysia seperti seperti UPSR, PT3, SPM dan MUET. Semua ini mengambil kira kebolehan pelajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Mahu atau tidak, semua pelajar perlu belajar dan menguasai bahasa antarabangsa tersebut kerana bila anda fasih, ia mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik," kata Teacher Wan Asiyah Wan Ghazali atau Teacher Asiyah.

Merupakan Guru Bahasa Inggeris di English Class Shah Alam, Teacher Asiyah berkata, bahasa Inggeris sudah lama dipelajari oleh setiap pelajar.

"Ironinya, pelajar yang sama, telah mempunyai asas dalam bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah lagi. Mereka belajar bahasa berkenaan paling kurang 11 tahun.

"Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mampu bercakap dengan lancar. Jadi, di mana silapnya? Adakah silap pedagogi? Sikap pelajar acuh tak acuh semasa belajar? Atau silap sistem pendidikan kita?," kata Teacher Asiyah, graduan B.Ed (TESOL) Universiti Auckland, New Zealand.

Ujarnya lagi, ada satu perkara penting dalam proses pembelajaran iaitu sikap pelajar itu sendiri.

"Pelajar sebenarnya perlu rajin menyemak semula maksud yang tidak difahami dengan menggunakan kamus.

"Namun, jika anda malas untuk bawa kamus tebal ke sana sini, anda boleh mencari maksud perkataan bahasa Inggeris dalam gajet masing-masing. Semua maklumat di hujung jari sahaja. Tinggal lagi hendak atau tidak," katanya dengan menambah sesiapa sahaja yang fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, peluang mereka cerah. Malah ada yang berkelayakan diploma akan segera dinaikkan pangkat lebih cepat dari yang memiliki ijazah disebabkan kefasihan bertutur dalam bahasa tersebut.

Artikel menarik

Tarik minat murid dengan aplikasi Geoboard, cg KAI kongsi idea yang ramai tidak tahu

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul

‘Ayah bawa lori, ustazah. Mak pula dah tak ada’ – Luahan murid Tahun 6 ini buat ramai sebak!