Kontinjen Melaka membuka tirai Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dengan cemerlang apabila merangkul tiga emas daripada keseluruhan lima pingat yang dipertandingkan semalam di gelanggang wushu yang berlangsung di Dewan Kolej Matrikulasi Gopeng.

Atlet berusia 16 tahun dari Malim, Melaka, Si Shin Peng menjadi penerima pingat emas pertama temasya Sukma 2018 apabila muncul peserta yang paling tinggi kutipan mata dalam kategori Jianshu Lelaki dengan 9.48 mata, diekori atlet Sarawak Elvic Bong Qian Zheng (9.40) untuk meraih perak dan gangsa menjadi milik atlet Terengganu, Mohamad Afiq Danial Mohd Firdaus Chua.

Shin Peng ketika beraksi pada aksi final acara Lelaki Jianshu.

"Saya berjaya mengubati kekecewaan pada Sukma 2016 di Sarawak yang lalu apabila berjaya meraih pingat emas kali ini dan latihan selama enam bulan sebelum menyertai Sukma  sangat membantu.

"Saya amat bangga dengan pencapaian ini,” kata pelajar tingkatan empat ini.

Tammy ketika beraksi pada aksi final acara Wanita Jianshu pada Kejohanan Sukma 2018.
 

Sementara itu, emas kedua Melaka pula hadir menerusi Tammy Hui Ling yang mempamerkan aksi memukau sehingga berjaya menambat hati juri untuk mengutip mata tertinggi dalam kategori Jianshu Wanita dengan 9.44 mata manakala atlet Sarawak Stephanie Ngu Chai Ern meraih perak (9.40) dan wakil Perlis Wong Kai Xin terpaksa berpuas hati dengan gangsa (9.34).

"Saya tidak menyangka akan menang pingat emas hari ini kerana senior saya turut bertanding dalam kategori itu… saya cuma lakukan yang terbaik dan kurangkan daripada melakukan kesilapan,” kata Tammy yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Cheong Wan ketika beraksi pada aksi final dalam kategori Gunshu Lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 di Kolej Matrikulasi Gopeng, semalam.

Tan Cheong Wan meneruskan aksi cemerlang kontinjen Melaka apabila merangkul emas dalam kategori Gunshu Lelaki setelah mengutip 9.58 mata meninggalkan atlet Pulau Pinang Muhammad Danish Aizad Mohd Firdaus Chua untuk pingat perak dengan 9.45 mata dan gangsa diraih atlet Sarawak, Clement Thian Fung Seng yang memungut 9.43 mata.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Wushu Melaka Yong Kheng Chien menyuarakan keyakinan bahawa barisan atletnya mampu menyumbang sekurang-kurangnya dua lagi pingat emas buat kontinjen Melaka.

"Pencapaian hari ini (semalam) sangat baik di mana semua atlet berjaya mempamerkan kualiti yang baik dalam persembahan mereka dan saya harap ia dapat dikekalkan sepanjang temasya ini,” katanya.

Gelanggang wushu menawarkan tujuh lagi pingat emas hari ini.

Cheong Wan bergambar bersama pingat emas selepas memenangi acara Lelaki Gunshu dengan 9.58 mata pada Kejohanan Sukma 2018.