PROGRAM Overseas Physical Education, Sports Student Activities (OPESA) merupakan program susulan selepas kepulangan pasukan pertama (kalangan guru) Korea-Malaysia Teacher Exchange Programme 2014 (KOMTEP) yang lalu.

Ia mendapat kerjasama Jabatan Antarabangsa Pendidikan Jasmani PE Universiti Kyung Nam, Korea Selatan dan bertujuan sebagai perkongsian secara langsung antara sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang berkaitan aktiviti dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Sukan. Tidak terhad kepada aktiviti sukan, rekreasi dan budaya, aktiviti ini juga membuka ruang dan peluang untuk perkongsian pintar dua hala.

Program OPESA memberi manfaat kepada guru dan murid melalui sesi perkongsian secara langsung dengan aktiviti bengkel, ceramah, demonstrasi sukan baharu dan sesi soal jawab. Semua peserta sangat teruja kerana mereka dapat berinteraksi secara langsung dengan delegasi melalui aktiviti yang menarik.

OPESA telah mendapat kerjasama Guru Besar Cemerlang, Naemah Ismail dan Norihan Ismail yang melihat kepada potensi yang ada. Malah, program ini juga telah menjadi salah satu bidang kebitaraan antarabangsa bagi melengkapkan usaha untuk mendapatkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Ikuti catatan Cikgu Mohd Nasir Zakaria iaitu salah seorang peserta KOMTEP 2014.

Beliau merupakan Duta Kecil Pendidikan Malaysia dan kini bergelar pendidik SK Putrajaya Presint 8 (2) serta mengajar subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Pendidikan Jasmani.

Ini perkongsiannya.

1) SK Putrajaya Presint 8 (1) terima delegasi Korea

Sekembalinya saya daripada menyertai program KOMTEP 2014, saya telah dipujuk oleh beberapa pelajar daripada Universiti Kyung Nam untuk bertemu dengan Ketua Jabatan Antarabangsa Pendidikan Jasmani, Budaya dan Sukan yang juga pensyarah Universiti Kyung Nam iaitu Professor Dr Sabunim Lee.

Hasil daripada perbincangan yang membuahkan hasil, maka saya bersetuju untuk bekerjasama dengan beliau bagi melaksanakan sesi perkongsian dengan sekolah-sekolah di Malaysia. Memandangkan program ini merupakan inisiatif kerjasama kedua belah pihak, saya berpendapat bahawa sekolah-sekolah yang bakal saya bawa kelak mestilah sekolah yang dekat dengan tempat saya bertugas.   

Saya mulakan sesi pertama OPESA pada 2015 di sekolah tempat saya bertugas iaitu SK Putrajaya Presint 8 (1), Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Pada sesi pertama ini, pihak sekolah dan murid sangat teruja dengan kehadiran pelawat daripada delegasi Korea tersebut. Saya telah menonjolkan sukan ragbi untuk dipamerkan kepada pelawat dan beberapa persembahan seperti dikir barat bagi mendedahkan mereka dengan budaya masyarakat tempatan sebagai aktiviti selingan.

Program ini merupakan usaha inisiatif untuk menjadikan sebagai salah satu usaha jaringan kerjasama melalui pendekatan untuk menerima delegasi daripada negara Korea Selatan.

 

2) Adakan aktiviti menarik di sekolah sekitar Putrajaya

Pada tahun 2016, aktiviti OPESA semakin rancak apabila saya ditempatkan di SK Putrajaya Presint 11 (3), Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Pihak sekolah turut positif dengan aktiviti ini. Maka kami melaksanakan beberapa aktiviti lawatan ke beberapa sekolah lain iaitu SK Presint 11 (3) dan SK Putrajaya Presint 11 (2).

Pada kali ini, delegasi telah berkongsi pengetahuan berkaitan tapping. Setiap kali kami bertemu dengan guru-guru sekolah berkenaan, maka mereka sangat teruja dan bersyukur kerana dapat menimba ilmu pengetahuan yang baharu. Kebetulan juga saya ditempatkan sementara di SK Putrajaya Presint 11 (3) di mana saya juga turut dapat membantu peserta guru pertukaran dari Korea melalui program KOMTEP 2016.

Sebagai alumni pertama KOMTEP 2014, pelbagai pengalaman yang saya perolehi dan melalui program ini juga, membuatkan saya terpanggil untuk membantu dan menghulur bantuan dari segi buah fikiran, tenaga dan sebagainya. Ini merupakan tugasan tambahan yang dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab dan amanah terhadap tugas dan sesi perkongsian yang baik.

Cikgu Mohd Nasir sebagai Duta Kecil Pendidikan Malaysia

Bersama murid-murid di Korea seusai sesi pembelajaran yang mengetengahkan permainan tradisi masyarakat Malaysia iaitu sepak raga bulatan dan sepak takraw.

 

3) OPESA ke SK (P) Methodist 1 Brickfields

Tahun berikutnya iaitu pada 2017, aktiviti OPESA tidak terhad kepada sekolah di Wilayah Persekutuan, Putrajaya sahaja. Aktiviti ini diperluaskan dengan melawat SK (P) Methodist 1 Brickfields, Kuala Lumpur. Aktiviti yang dijalankan ialah ceramah berkaitan isu Pendidikan Jasmani dan tapping class.

Sesi perkongsian ini sangat bermanfaat kerana dapat diperluaskan ilmu pengetahuan mereka untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan isu semasa.

Tidak terhad kepada isu berkaitan Pendidikan Jasmani, peserta guru turut dapat berkongsi cerita dan pengalaman mereka untuk  mendapatkan perkongsian secara langsung ini.

Ketika berada di sekolah yang agak bercirikan desa iaitu SK Rancangan Tanah Belia SK RTB Sepang, maklumbalas penerimaan guru sangat positif kerana mereka dapat menerima pelawat daripada Korea buat kali pertama dalam lipatan sejarah sekolah. Selain itu juga aktiviti bengkel dapat memberi mereka markah penyertaan di dalam aktiviti LADAP.

Dalam masa sama, delegasi Korea juga aktif dengan turut serta dalam aktiviti PDPC yang dijalankan. Mereka menyampaikan perkara penting dalam sukan dan PE iaitu senaman pemanas badan dinamik dan lain lain aktiviti pergerakan yang mustahak.

Professor Dr Sabunim Lee yang juga mengikuti program ini, tidak kekok untuk menjalankan aktiviti dengan kanak-kanak sembilan tahun ketika di dalam kelas. Sikap sporting dan terbuka adalah salah satu sikap penting dalam sukan.

 

4) Aktiviti bounce spike ball dan stretching band mengujakan  

Pada tahun 2018, lawatan ke sekolah-sekolah diteruskan lagi di mana kami mengunjungi beberapa buah sekolah iaitu SMK Putrajaya Presint 11 (2), SMK Putrajaya Presint 9 (2) IB World School dan SK Putrajaya Presint 14 (1).

Rata-rata pentadbir sekolah sangat teruja menerima delegasi untuk tujuan perkongsian. Masakan tidak jika kita hendak membawa murid semestinya memakan belanja yang sangat besar. Orang sudah bertandang ke halaman sendiri, kita terima dengan besar hati.

Aktiviti yang dijalankan ialah New Sport oleh Korea New Sport Institution iaitu aktiviti permainan bounce spike ball.

Penyertaan mereka sangat baik sekali di mana mereka dapat memanfaatkan bakat daripada murid untuk mencuba permainan tersebut.

Seterusnya, saya dan pasukan melawat SMK Petaling, Kuala Lumpur yang diketuai Cikgu Muhammad Faiz Ibrahim dengan aktiviti stretching band. Para pelajar dan guru-guru diberikan taklimat awal berkaitan dan dibenarkan mencuba aktiviti tersebut.

Selain daripada itu, para peserta turut dapat beramah mesra dan berkenalan dengan peserta delegasi dari Korea Selatan.

Semasa mengajar murid Korea Selatan di musim luruh.

 

5) Jelajah lima sekolah

Acara kemuncak OPESA pada tahun kelima ialah dengan mengadakan lawatan ke sekolah berikut iaitu SMK Cyberjaya (diketuai Cikgu Khairul Syahmi); SK Cyberjaya; SMK Putrajaya Presint 16 (1); SK Putrajaya Presint 16 (1) dan SK Lavender Heights, Senawang, Negeri Sembilan.

Sesi perkongsian yang dijalankan ialah pengenalan kepada aktiviti taping iaitu salah satu cara untuk menjalankan aktiviti kesukanan sama ada untuk pencegahan kecederaan atau mengatasi kecederaan ringan semasa menjalankan aktiviti bersukan.

Setelah lima tahun OPESA dijalankan dengan penuh sabar dan konsisten, akhirnya ia mula mendapat tempat dalam kalangan sekolah di Malaysia.

Justeru, program OPESA nanti akan dijalankan berdasarkan kepada permintaan dan dengan biaya dana daripada pihak yang berminat untuk menaja program berkenaan. Ini kerana, selama lima tahun OPESA dilakukan secara percuma tanpa sebarang bentuk bayaran kerana tujuannya adalah untuk perkongsian yang baik.

Nilai ilmu yang diperolehi sangat baik sekali. Murid atau pelajar Malaysia dapat mendengar cerita, berkomunikasi dan berinteraksi secara langsung dengan delegasi dari Korea.

 

6) Aktiviti selepas OPESA

Difahamkan bahawa Korea dan negara maju yang lain mempunyai jabatan berkaitan after school programme bagi tujuan mengembangkan bakat pelajar.

Alangkah baiknya jika Malaysia juga dapat mewujudkan suatu jabatan yang berkaitan aktiviti selepas sekolah di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.  

Aspek kualiti dapat dikawal dan beban guru dapat diminimumkan. Paling mustahak ialah kualiti yang diperolehi setanding dengan negara-negara maju.

Jika di negara maju, anak-anak seawal usia sudah pun menguasai kemahiran teknikal berkaitan alat- alat muzik. Sudah banyak kajian kita dapati bahawa muzik dapat meningkatkan IQ pelajar. Cara ini juga dapat mengelakkan murid menjadi tertekan dengan akademik semata-mata.  Bahkan ini merupakan skill yang sesuai dengan arus pemodenan.

Sayang sekali jika setiap kali memasuki kenderaan, kita selalu didendangkan dengan muzik tetapi tidak kenal dan pernah tahu dengan alatan muzikal yang ada apatah lagi menguasai kemahiran berkaitan sebagai contoh.

 

5) Kemahiran lain

Terdapat juga kelas tarian, nyanyian dan sebagainya yang mengguna pakai metodologi yang sama. Pelajar belajar langsung dengan guru-guru yang dihantar oleh persatuan, majlis perbandaran dan sebagainya.

Seperti mana biasa, akan diadakan pertandingan-pertandingan di antara peringkat sekolah-sekolah, daerah, kebangsaan dan antarabangsa.  

Kemahiran yang dikuasai mereka ini akan dipertandingkan atau dijemput untuk membuat persembahan di sebarang acara.

Kerjasama semua pihak amatlah penting sekali. Semua pihak perlu menganggap bahawa pelajar merupakan aset paling penting kepada negara. Mereka merupakan masa hadapan negara. Usaha ini tidak boleh timbul rasa jemu daripada kelompok ibu bapa, guru dan institusi yang terlibat.

Semua pihak iaitu Kementerian dengan kementerian lain perlu wujud satu kesefahaman yang baik. Maka dengan itu kemahiran yang berkualiti dapat diwujudkan dan dibekalkan kepada murid. Penglibatan badan-badan sukan, kesenian dan sebagainya perlu melalui tenaga pengajar yang terbaik yang dapat disalurkan. Cara ini dapat menambah bilangan pekerjaan dan meningkatkan mutu penyampaian. Beban tugas guru juga dapat dikurangkan. Profesion keguruan juga akan disanjung tinggi.

Saya yakin dengan mewujudkan ‘aktiviti selepas sekolah’ akan dapat memberikan pelajar peluang mengayakan ilmu pengetahuan mereka dan mampu setanding dengan pelajar dari negara maju.

Mentaliti mengutamakan kualiti bukan sekadar kuantiti mesti diterapkan. Dengan cara itu setiap pelajar akan berusaha untuk memberikan yang terbaik. Semua pihak mesti mampu untuk menjadi agen perubahan dengan menawarkan sesuatu kepada pelajar untuk mereka aktif.

Usaha meningkatkan kemahiran melalui ‘aktiviti selepas sekolah’ yang biasa kita dengar di Malaysia sebagai kokurikulum hendaklah diberikan hak yang sama rata kepada semua pelajar. Sekiranya semua pelajar diberikan peluang, mereka akan dapat bersaing di atas pentas yang sama dan mampu menunjukkan potensi diri masing-masing.

Memperkenalkan budaya Malaysia ke persada antarabangsa.

Delegasi Malaysia berkesempatan mempelajari budaya negara Korea Selatan.

INFO

- Seramai 12 guru Malaysia terpilih mengikuti KOMTEP 2014.

- Peserta yang terlibat merupakan guru  Bahasa Inggeris, Sukan dan Pendidikan Jasmani serta guru-guru yang berkaitan dengan aktiviti kokurikulum.

- Sepanjang berada di Korea, peserta didedahkan dengan aktiviti kesukanan dan budaya Korea.

- Program OPESA merupakan aktiviti ‘follow up Programme’ yang dilaksanakan oleh cikgu Mohd Nasir Zakaria sebagai usaha beliau memperkenalkan budaya korea di Malaysia

Artikel menarik

Gerobok Rezeki, SK Laksamana bantu murid asnaf

SK Sultan Ismail 3 wujudkan taman sumber dan penanaman jagung. Guna barang terbuang untuk projek ini