SHAH ALAM - 16 pasukan bakal membawa cabaran bagi bersaing untuk merebut kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) dalam perlawanan yang akan berlangsung hari ini.

Kesemua pasukan itu layak ke pusingan 'kalah  mati' selepas melepasi saingan  pertama yang menampilkan 32 pasukan terbaik dari seluruh daerah di negeri ini.

Pengerusi Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, pertembungan pada kali  ini dilihat agak seimbang berikutan pasukan yang  baharu pertama kali layak juga turut mempamerkan aksi permainan berkualiti.

"Kita berharap bakat - bakat muda ini akan menyerlah di persada bola  sepak negara malah antara bangsa," katanya.

Beliau berkata, 16 pasukan yang akan bersaing dalam pusingan kali ini adalah SMK S10 Kota Damansara,  SMK Dato Hamzah, SMK Tinggi Kajang, SMK USJ 23, SMK Sijangkang Jaya, SMK Bandar Tasi Kesuma, SMK USJ 8 dan SMK Sg Kertas.

Selain itu, beliau berkata pasukan lain yang turut layak merupakan SMK Tun Perak, SMK Meru,  SMK Jalan Empat BB Bangi, SMK Bukit Changgang, SMK Datuk  Harun, SMK Bagan Terap, SMK Serendah dan SMK Jalan Kebun.

"Lapan pasukan yang berjaya meraih kemenangan  dalam perlawanan kali  ini akan berjaya ke peringkat suku akhir yang akan  berlangsung pada 11 Mac ini.

"Pertemuan separuh akhir bagi kejohanan ini  pula akan berlangsung pada 13 Mac manakala  perlawanan akhir akan diadakan  di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya pada 16 Mac bermula 8.00 malam," katanya.

Piala Dato Mokhtar Dahari dikatakan menjadi  platform terbaik bagi mencungkil bakat pemain bola  sepak yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Di samping itu, kejohanan ini dilihat konsisten  melahirkan pemain berbakat  diperingkat akar umbi.

Johan akan meraih hadiah  wang tunai RM8,000, naib johan RM6,000, tempat ketiga RM4,000 manakala keempat menerima RM2,000.

Selain itu lapan pasukan kesuku akhir masingmasing  menerima satu set  jersi yang disumbangkan Permodalan Negeri Selangor  Berhad (PNSB) yang juga penaja utama manakala Sinar Harian adalah akhbar rasmi kejohanan.