JERANTUT - Pasukan bola baling Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Bentong dinobatkan selaku juara kategori lelaki  dalam Kejohanan Bola Baling PSKPP yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Jan, kelmarin.

Pasukan tersebut menewaskan PSKPP Rompin dengan jaringan 6-3 dalam perlawanan akhir.

Manakala tempat ketiga menjadi milik PSKPP Bera selepas menumpaskan PSKPP Lipis dengan jaringan 7-4.

Sebanyak 8 pasukan menyertai kejohanan kali pertama diadakan yang dibahagikan kepada dua  kumpulan.

Kumpulan A terdiri PSKPP Beras, Temerloh, Jerantut dan Lipis dan Kumpulan B disertai PSKPP Pekan, Maran, Bentong dan Rompin.

Sementara itu, pasukan PSKPP Rompin muncul juara bagi kategori wanita yang disertai empat lagi pasukan lain.

Pertandingan yang dijalankan secara roundrobin itu menyaksikan PSKPP Lipis di tempat kedua dan PSKPP Bentong tempat ketiga.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut Anuar Osman dan Penyelia Sukan PPD Jerantut, Soffian Kassim turut hadir memberikan sokongan  dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sementara itu, penjaga gol PSKPP Bentong Nik Mohd Khairul Nik Yaakob dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khai Mun terpilih pemain terbaik kejohanan.

Pernah beraksi bersama pasukan Johor dan Kelantan sebelum ini, Nik Mohd Khairul juga pernah dipanggil untuk sesi pemilihan pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan menyertai Sukan Sea sebelum ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Teknik Permainan Bola Baling PSKPP Pahang, Shamsul Nizam Muhammad Ali berkata kejohanan yang diadakan buat julung  kalinya setelah mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

Beliau yang juga jurulatih bola baling Malaysia berharap semua guru yang terlibat dengan permainan ini diharap dapat berkongsi pengalaman untuk meningkatkan mutu permainan itu di peringkat sekolah di negeri itu.