Kreativiti guru ini, yang sanggup membuat rakaman video dari makmal sekolah, wajar mendapat pujian.

Selain penghasilan rakaman video, guru ini juga turut menghantar tugasan yang mudah dan ringkas agar tidak membebankan pelajar di rumah.

Guru Biologi dan Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam, Selangor, Cikgu Norafiza Razilah berkata, apa yang dilakukannya itu, sekadar mahu menarik perhatian pelajar untuk sentiasa seronok mempelajari Biologi.

“Saya mengajar Tingkatan Lima SPM 2020. Guru-guru dan calon SPM perlu datang ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka.

“Jadi, ketika waktu rehat, saya mengambil kesempatan membuat rakaman video di makmal sekolah kerana bagi saya, ia memudahkan pelajar memahami topik yang diajar,” katanya.

Cikgu Norafiza menghasilkan video berkenaan Bab 1 - Pengenalan Terhadap Biologi (Keselamatan dan Peraturan dalam Makmal), Tingkatan Empat menggunakan gabungan teknik Power Point dan Zoom.

“Penghasilan video menggunakan Zoom sangat mudah dan yang paling penting saiz video yang dihasilkan sangat kecil berbanding menggunakan teknik lain. Apabila saiz video kecil, maka pelajar cepat dapat menonton video tersebut tanpa terpaksa menunggu lama,” katanya.

Mari kita ikuti, bagaimana langkah demi langkah penghasilan video yang dilakukan oleh Cikgu Norafiza ini, seperti yang dikongsi menerusi laman facebooknya, baru-baru ini.

Semoga ia menjadi panduan buat guru-guru yang ingin menghasilkan video sedemikian.   

*****

Saya menghasilkan video mengikut kepakaran dan kemahiran yang ada. Ketika mula-mula rekod, saya membayangkan yang semua pelajar ada di hadapan. Cara memberi penerangan pun, bagaikan berada dalam kelas...tak ada nak kawal-kawal suara.   

Untuk keseluruhan PdP, saya tetap mengaplikasikan elemen PdP secara menyeluruh iaitu bermula dari Set Induksi sehingga Refleksi. Sebagai permulaan PdP, saya mulakan dengan video tiktok sunshine sebagai set induksi https://vt.tiktok.com/ZSKAT3oe/

Tujuannya adalah untuk ambil mood pelajar-pelajar dulu. Tanya mereka apa subjek yang susah setelah seminggu belajar. Bukan untuk menyusahkan hati mereka, tapi berikan nasihat supaya banyakkan study untuk subjek yang susah. Bagi subjek yang tak difahami, saya cadangkan pelajar tonton video PdP di YouTube. Sekalung ucapan terima kasih kepada cikgu-cikgu Malaysia kerana menyumbang ilmu di platform YouTube.

Langkah kedua ialah saya akan share video PdP ke Kelas Maya Biologi di Telegram. Pelajar akan menonton dan kami akan berbincang tentang perkara yang tidak difahami bersama-sama. Selain di Telegram, saya memuatnaikkan video tersebut di YouTube agar mereka boleh membuat ulangkaji bila-bila masa, akan datang.

Pengisian video berkenaan pula lebih memfokuskan berkenaan topik semasa yang diajar. Saya tidak mahu membebankan pelajar dengan menghasilkan video yang mempunyai durasi yang panjang. Apabila fokus kepada satu sub topik pada satu masa, ia membantu meningkatkan kefahaman pelajar.

Dalam video itu, saya buat ala-ala lawatan virtual ke makmal Biologi untuk melihat kelengkapan yang ada di dalam sesebuah makmal sebab mereka dah lama tak masuk makmal. Saya juga kongsi infografik dari Canva tentang kategori sisa Biologi.

Kebanyakan pelajar suka dengan infografik yang dikongsi ini. Mereka beritahu, ia comel, kreatif dan menarik. Harapnya, infografik yang disertakan ini dapat membantu pelajar mengingat.

Memandangkan pelajar tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka, saya meminta pelajar membuat tugasan seperti berikut sebagai aktiviti pengukuhan.

Tugasan 1: Edit gambar cara pemakaian di makmal bila nak buat eksperimen

Tugasan 2: Tindakan yang perlu dilakukan jika seorang pelajar memecahkan termometer merkuri

Artikel menarik

Formula asas dalam penghafalan subjek Sejarah, Cikgu Fir kongsi rahsia yang ramai tidak tahu

Keliru cara guna istilah ‘murid’ atau ‘pelajar’, ini penjelasan Cikgu Tan