HAMPIR empat bulan sesi persekolahan dihentikan akibat penularan virus Covid-19. Pada tanggal 24 Jun 2020, aktiviti persekolahan kembali dibuka dengan keutamaan diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SKVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan beberapa peperiksaan antarabangsa yang setara.

Apabila sekolah dibuka semula, timbul persoalan bagaimana semua aspek keselamatan, kebersihan dan kawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial dapat dipraktikkan dan diamalkan di sekolah.

Sudah semestinya sebelum pengumuman pembukaan sekolah dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, gerak kerja yang agresif dan rapi telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan garis panduan yang dibuat mematuhi arahan dan saranan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pematuhan terhadap arahan dan saranan oleh MKN dan KPM adalah amat penting kerana garis panduan yang dihasilkan oleh pihak KPM akan diguna pakai secara menyeluruh di semua sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Syabas diucapkan kepada warga KPM atas penghasilan garis panduan yang begitu terperinci, bukan sahaja menitik beratkan keadaan murid ketika sesi persekolahan berlangsung, malah mengambil kira kapasiti sekolah untuk menampung jumlah murid yang ramai.

Pengoperasian pembukaan sekolah pasca  Covid-19 adalah berdasarkan tiga model yang dicadangkan iaitu Model 1 - Model Satu Sesi, Model 2 - Model 2 Sesi dan Model 3 - Model Penggiliran.

Dalam situasi ini, pihak sekolah boleh memilih salah satu daripada model tersebut mengikut kapasiti sekolah bagi memastikan semua murid dapat kembali ke sekolah seperti sediakala.

Ketika proses persiapan pembukaan semula sekolah dijalankan, Jabatan Pendidikan Negeri perlu memastikan setiap sekolah memilih model yang bersesuaian mengikut kapasiti sekolah dan jumlah pelajar berdaftar.

Pemantauan yang berterusan ini dapat memastikan persediaan pembukaan sekolah yang dibuat adalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Terima kasih warga pendidik yang telah bertungkus lumus dalam membuat persiapan pengoperasian semula sekolah bukan sahaja untuk memastikan garis panduan normal baharu dipatuhi, malah keselesaan pelajar juga diutamakan sepanjang sesi persekolahan berlangsung.

Kehadiran semula pelajar ke sekolah dengan bilangan yang ramai menimbulkan persoalan, mampukah sekolah benar-benar memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku dan benar-benar terputus?

Dalam situasi begini, pihak sekolah termasuk guru dan kakitangan sokongan perlu bertindak sebagai petugas barisan hadapan (frontliner) dalam memastikan sekolah bebas daripada penularan virus ini.

Bermula daripada murid masuk ke pintu pagar sekolah sehingga mereka selamat menaiki kenderaan untuk pulang ke rumah. Saringan kesihatan dan pemantauan yang ketat wajib dilaksanakan tanpa culas setiap hari di pintu pagar sekolah bagi sekolah harian biasa untuk memastikan setiap murid yang hadir benar-benar sihat.

Selain pemeriksaan suhu badan, pemerhatian terhadap gejala seperti selesema, batuk, sakit tekak dan sesak nafas juga perlu diambil kira.

Pihak sekolah boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan Borang Maklumat Kesihatan yang perlu diisi dan dikemukakan oleh setiap murid bagi tujuan merekod kontak rapat pelajar selepas sesi persekolahan. Borang ini perlu dikembalikan kepada sekolah apabila pelajar melangkah masuk ke sekolah semula keesokan harinya.

Pihak sekolah perlu tegas dengan tidak membenarkan murid yang bergejala untuk tidak masuk ke perkarangan sekolah sebaliknya diarahkan pulang ke rumah untuk berehat ataupun mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Cabaran utama murid di sekolah harian adalah percampuran dan pergaulan rapat di dalam dan luar sesi persekolahan. Di dalam sesi persekolahan, guru perlu memastikan murid sentiasa mengamalkan penjarakan sosial sama ada di dalam kelas, makmal mahupun semasa menunaikan solat di surau.

Manakala di luar sesi persekolahan, ibu bapa perlu cakna dengan status terkini penularan Covid-19 agar dapat mengawal pergerakan dan pergaulan anak-anak selain menjadi contoh kepada mereka dalam menjaga kebersihan diri sebagai inisiatif untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu peka terhadap tahap kesihatan anak-anak sebelum pergi ke sekolah dan selepas pulang ke sekolah setiap hari.

Tindakan yang cepat perlu diambil jika anak-anak menunjukkan gejala tidak sihat. Sekiranya semua ibu bapa boleh memainkan peranan ini dengan baik, ia akan mengurangkan beban kepada sekolah dalam usaha memastikan penularan wabak  Covid-19 ini tidak berlaku.

Bagi sekolah berasrama pula, prosedur penghantaran pelajar semula ke sekolah perlulah diperketatkan. Contohnya, bilangan individu yang dibenarkan untuk menghantar pelajar pulang semula ke asrama perlu dihadkan kepada ibu dan bapa sahaja.

Wakil ibu bapa ataupun adik beradik sama sekali dilarang untuk turut serta semasa sesi penghantaran pulang pelajar. Ini amat penting bagi meminimumkan bilangan individu yang ada pada suatu tempat tersebut dalam satu-satu masa. Penghantaran pelajar pula boleh dilaksanakan dengan cara ‘drop off’ untuk memastikan tidak berlakunya sentuhan langsung ahli keluarga dengan mana-mana individu lain dan juga tempat-tempat di perkarangan sekolah.

Ketika sesi persekolahan berlangsung, guru perlu menjadi contoh terbaik dalam mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan oleh KPM. Guru-guru dan kakitangan sekolah ibarat role model bagi murid untuk dicontohi.

Mereka perlu mengembleng tenaga bagi menjalankan pemantauan yang berterusan agar pematuhan prosedur operasi standard yang diarahkan KPM berjalan dengan lancar di setiap ruang kelas, makmal, perpustakaan, pusat sumber, kantin, pondok bacaan dan sebagainya.

Semua pihak maklum bahawa penularan Covid-19 ini telah mewujudkan satu normal baharu. Normal baharu ini memerlukan kita untuk beradaptasi dengan cara hidup yang baharu. Ia memakan masa untuk memastikan normal ini benar-benar menjadi gaya hidup kita, tetapi ia mesti dilaksanakan dan dijadikan suatu kebiasaan dalam kehidupan kita.

Peringatan yang berterusan oleh pihak sekolah kepada murid amat penting dan juga merupakan salah satu faktor yang dapat membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini. Peringatan yang berterusan membantu murid agar tidak alpa dan sentiasa sedar bahawa setiap perlakuan ataupun pergaulan dalam normal baharu ini perlu dijadikan kebiasaan sehinggalah negara kita benar-benar merdeka daripada cengkaman Covid-19.

Slogan #kitajagakita bukan sahaja menjadi tular di media sosial atau sekadar meniti di bibir sahaja, tetapi kita sendiri yang perlu mempraktikkannya. Jadikan slogan ini suatu perlakuan yang realiti kerana hanya kita sahaja yang mampu memutuskan rantaian penularan ini. Siapa lagi yang kita harapkan untuk memutuskan rantaian ini andai kita gagal menjaga diri kita.

- Dr Rahayu Ahmad, Pensyarah Kanan Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel menarik:

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir

Hati-hati cikgu...enam jenis Covid-19 telah dikenal pasti

Normal baharu Persekolahan Pasca Covid-19. Bersediakah kita untuk menerima semua ini...

Penyesuaian normal baharu persekolahan penjarakan sosial dalam konteks sekolah dan guru