Setelah lebih sebulan tidak bertemu, sekumpulan 16 orang guru sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, mengambil inisiatif untuk melawat pelajar mereka di Pulau Timbang, dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 13 November lalu.

Pengetua sekolah Esmadi Ismail berkata sambil mengubat rindu, kumpulan guru itu tidak datang dengan tangan kosong, malah telah menyumbangkan bakul makanan dan alat tulis serta kit kesihatan kepada 200 pelajar sekolah dan keluarga masing-masing, di pulau berkenaan.

"Kami mengadakan lawatan ini sebagai sebahagian Program Prihatin COVID-19 SMK Batu Sapi, setelah semua sekolah di Sabah diarahkan tutup sejak 10 Okt lepas selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), susulan peningkatan kes positif di negeri ini.

"Selain mengusahakan sumbangan barangan makanan kepada pelajar dan keluarga mereka, kami juga prihatin dengan keperluan pendidikan mereka dan telah mengusahakan sumbangan alat tulis, bagi memudahkan pembelajaran mereka di rumah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan itu.

Prihatin dengan masalah perkhidmatan jalur lebar yang lemah di pulau itu, Esmadi berkata sekolah itu turut menyediakan perkhidmatan penghantaran modul latihan kepada pelajar berkenaan.

Ketua Bahagian Risik Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) TLDM Sandakan Leftenan Komander Ahmad Fitri Osman berkata, TLDM berbesar hati dapat memberi bantuan pengangkutan bagi memudahkan penghantaran bantuan makanan dan peralatan pembelajaran, kepada pelajar di pulau itu.

Beliau berkata Mawilla 2 amat memahami keadaan geografi Sandakan yang mempunyai banyak pulau dan sentiasa komited bukan sahaja dalam menjaga perairan negara, bahkan memberi bantuan aset daripada aspek kebajikan seperti penyampaian bantuan kepada masyarakat yang terjejas semasa PKPB.

Sementara Ketua Kampung Pulau Timbang, Lajim Sumadin pula bersyukur atas keprihatinan sekolah berkenaan untuk memantau keadaan pelajar mereka di pulau itu.

"Kami berbangga ada sekolah seperti SMK Batu Sapi yang sudi datang ke pulau ini, untuk melawat anak didik mereka.

"Anak-anak kampung teruja untuk menerima kedatangan guru-guru mereka. Mungkin juga kerana rindu,” katanya. - BERNAMA