Berdepan dengan bencana banjir yang melanda negara, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Limau Purut (SKLP),  Abd Manaf Mat memegang semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, apabila turun padang membersihkan Sekolah Kebangsaan Jeram Landak (SKJL), Kuala Lipis, Pahang.

SK Jeram Landak antara sekolah di daerah Kuala Lipis yang ditenggelami air ketika banjir melanda negeri itu baru-baru ini.

Gotong-royong yang bermula pagi dan berakhir tengahari itu disertai oleh 12 orang guru dari SK Limau Purut.

Menurut Abd Manaf, SKJL terletak 13 kilometer dari SKLP, dan guru besar sekolah itu, Shabaruddin Awang merupakan bekas Penolong Kanan Pentadbiran di SKLP.

“Kami simpati dan ingin merasai susah senang bersama. Banyak juga barang yang rosak dan tidak dapat diselamatkan, antaranya meja guru, kerusi guru, komputer, kertas photostat, bahan bantu dan juga mengajar. Namun itu semua dugaan dari ALLAH SWT, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” kata beliau.

Jelas beliau, antara bantuan yang diberikan adalah, memunggah barang rosak keluar dari bilik dan membasuh sisa lumpur yang masih melekat pada lantai dan dinding sekolah.

“Alhamdulilah saya mempunyai barisan guru yang sangat membantu, masing-masing turun secara sukarela. Untuk memudahkan tugasan, kami akan turun mengikut giliran setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu,” jelas beliau.