SUNGAI PETANI - Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Ibrahim  dinobatkan johan dalam Kejohanan Hoki Bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah
Daerah (MSSD) Kuala Muda Yan, baru-baru ini. 

Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah turut membolehkan  pasukan itu menggondol Anugerah Jurulatih Terbaik dan Anugerah Pemain Terbaik.

Jurulatih pasukan, Muhamad Sahlan Isa berkata, kejayaan itu hasil kesungguhan pemain yang juga merupakan  murid Sekolah Kluster Kecemerlangan itu, yang
mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan.

Menurutnya, semangat  berpasukan dan kerjasama terbaik menjadikan pasukan  tersebut terus mara ke pusingan akhir yang kemudian berjaya diumumkan johan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang mempamerkan bakat cemerlang, di samping sokongan pihak sekolah, ibu bapa dan semua pihak yang bertungkus-lumus sehingga membolehkan kejayaan ini menjadi milik kita,” katanya.

Menurut Muhammad  Sahlan, kemenangan berkenaan adalah hadiah paling bermakna kepada pihak sekolah  yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun ini.

"Setakat ini, pemain sedang menjalani latihan memantapkan  kemahiran dan permainan sebagai persediaan  sesi pemilihan kejohanan peringkat negeri Majlis Sukan Sekolah Kedah 2019 minggu depan," katanya.