SAUJANA UTAMA - Penubuhan Klinik Bola Sepak dan Akademi Bola Sepak Seri Pristana mampu melahirkan lebih ramai pemain cilik sebagai pelapis dalam arena  bola sepak negara.

Penampilan khas legenda bola sepak negara, Khalid Ali dan pemain Skuad Piala Dunia Remaja 1997 dan  Olimpik 2000, Haled Masrom menyuntik semangat
130 peserta klinik bola sepak itu.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Zazaluma Harun menjelaskan, penubuhan kelab berkenaan tercetus apabila sekolah itu pernah dikenali sebagai
juara pasukan bola sepak.

“Pencapaian sukan yang cukup baik mendorong penubuhan  akademi itu bagi melatih lebih ramai anak penduduk yang berminat dan berpotensi dalam bidang ini.

“Panitia Sukan dan Kokurikulum sekolah membawa idea ini dan sudah pastinya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak membantu dari segi
sumbangan peralatan dan sokongan,” katanya.

Zazaluma berkata, kerjasama semua ibu bapa dan komuniti setempat dilihat mampu membawa kecemerlangan bukan sahaja pembangunan akademik bahkan kokurikulum. 

“Kerjasama komuniti juga baik dalam membantu menjayakan akademi ini dan menjadi titik tolak pembangunan bola sepak yang dapat dinikmati murid sekolah lain.

“Dengan sumbangan berterusan untuk pembangunan sukan, saya  percaya akademi ini dapat mengembalikan kejayaan yang pernah dicapai pihak sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada program yang dirasmikan Ahli  Majlis Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd Azhar Abdul Razak di Padang SK Seri Pristana dan dihadiri  Yang Dipertua PIBG, Mohd Azmanizam Baharon.

Sementara itu, Mohd Azhar  berkata, pihaknya menyambut baik penubuhan yang dikendalikan PIBG dan pihak sekolah sekali gus memberi peluang kepada anak penduduk.

“Sambutan cukup menggalakkan sehinggakan melebihi kuota  yang ditetapkan dan saya berharap penubuhan akademi ini didaftarkan secara rasmi bagi  memudahkan saluran peruntukan.

“Inisiatif ini bagus kerana  dihadiri bekas pemain kebangsaan yang bersama berkongsi ilmu dan ibu bapa juga diberi taklimat  mendidik anak mereka lebih cemerlang dalam sukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai  suntikan dana, Mohd Azhar memaklumkan, pihaknya boleh menyalurkan peruntukan yang diterima kepada kumpulan sasar pertama berkaitan pembangunan sukan di Saujana Utama.

“Akademi ini adalah kumpulan pertama yang berjumpa dengan saya dan insya-ALLAH ada peruntukan yang boleh disalurkan dan boleh panjangkan kepada perhatian kerajaan negeri untuk pembangunan sukan peringkat akar umbi.

“Sudah menjadi impian saya untuk melihat akademi di bawah  sekolah ini dapat berkembang sehingga ke peringkat lebih tinggi untuk jangka masa panjang,” katanya.