Matematik? Sesuatu yang biasa dan sentiasa digunakan dalam kehidupan sehari-hari kita.

Matematik menjadi suatu mata pelajaran yang mudah dan sangat diminati bagi mereka yang dapat kuasai asas.

Berlainan pula bagi sesetengah pelajar yang masih tidak menguasai asas Matematik. Tidak Minat! Stress! Susah! Atau pelbagai istilah lain akan timbul bila kerap kali tidak dapat selesaikan soalan walau puas menekan kalkulator dan mengikut formula yang sepatutnya.

“Cikgu selalu sebutkan dengan anak didik cikgu untuk tidak terus berputus asa, sebaliknya beri peluang kepada diri sendiri untuk cuba dan terus mencuba.

“Di sini ada beberapa tip mudah yang boleh diikuti untuk kuasai Matematik lebih-lebih lagi buat calon SPM yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi. InsyaAllah, mudah-mudahan memberi manfaat buat anda semua,” kata Guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA) Cikgu Juliana Mohd Yunus kepada GPS Bestari.

Tip mudah cara Cikgu Juliana.

1) Cuba praktikkan D1D3Q (dibaca sebagai DIDIK).

“D1D3Q iaitu Do 1 Day (at least) 3 Question” merupakan satu akronim yang cikgu sering gunakan untuk anak didik cikgu. Di sini cikgu galakkan, bahkan wajibkan untuk anda semua jawab setiap hari sekurang-kurangnya 3 soalan.

Sekurang-kurangnya di sini bermaksud, paling sedikit atau jika tidak sempat dek kerana pelbagai kesibukan urusan lain sekalipun, mesti jawab 3 soalan. Ya, 3 soalan sahaja! Hari yang lapang, pilih 3 soalan Kertas 2. Hari yang super duper sibuk, pilihlah 3 soalan objektif. Mudah kan?

Kita biasa dengar “practice makes perfect” atau apa jua istilah lain, semuanya menggalakkan kita untuk terus-terusan cuba menjawab seberapa banyak soalan Matematik setiap hari.

Percayalah, semakin banyak soalan yang kita biasa jawab, semakin mahirlah kita dengan soalan Matematik.

Dan sampai satu masa, kita akan perasan yang rupanya soalan Matematik ini berkisar soalan yang sama sahaja. Hanya ayat, situasi dan nombornya sahaja yang bertukar untuk kita selesaikan hingga mendapat jawapan yang betul.

Pasti pernah terzahir dibibir anda pabila berada dalam sesi perbincangan jawapan bersama guru, “Eh, macam soalan yang cikgu bagi semalam la…” atau “Oh, macam ni je ke penyelesaiannya?” atau “Betullah cikgu, sama je jalan kerjanya macam soalan tadi…” atau lain-lain lagi.

Tentu rasa seronok kan untuk menjawab jika kita telah biasa dengan bentuk soalan yang akan ditanya.

2) Jawab semua soalan SPM sebenar tahun-tahun lepas

Pastinya anda mempunyai buku-buku kerja yang mengumpulkan soalan-soalan SPM bagi tahun-tahun lepas atau pastinya guru anda juga pernah meminta anda menjawab soalan sebenar SPM tahun-tahun lepas kan?

Jadi, manfaatkan betul-betul soalan tersebut. Pastikan anda pernah cuba jawab setiap soalan SPM sebenar sekurang-kurangnya untuk SPM 5 tahun terkini.

Dengan menjawab soalan-soalan ini, anda akan semakin biasa dengan bentuk-bentuk soalan rutin, soalan bukan rutin serta soalan berbentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang akan ditanya dalam soalan Matematik SPM sebenar nanti.

Secara tidak langsung, anda akan jadi lebih bersedia untuk menjawab soalan Matematik ini dengan lebih yakin sewaktu menduduki peperiksaan bagi Kertas Matematik SPM nanti.

3) Kuasai teknik menjawab langkah demi langkah dengan betul.

Untuk mata pelajaran Matematik khususnya, langkah kerja adalah teramat penting.

Penyelesaian dengan jalan kerja yang tidak lengkap atau tidak tepat, walaupun anda memberikan jawapan akhir yang betul, tetap akan membuatkan anda kehilangan markah.

Oh, tidak! Ini sangat merugikan kerana anda kehilangan markah pada soalan yang anda sepatutnya boleh dapat markah penuh!

Jadi, pastikan anda tidak tertinggal sebarang langkah pengiraan penting yang membolehkan anda berpeluang untuk mengumpul markah.

Sebagai contoh, soalan Persamaan Kuadratik. Pastikan jalan kerja iaitu menulis Persamaan Kuadratik dalam bentuk am dan pemfaktoran ditulis dengan lengkap, iaitu mesti ada sama dengan sifar.

Markah untuk jalan kerja tidak akan diberikan jika tiada sama dengan sifar dituliskan pada kedua-dua langkah kerja ini. Jawapan akhir anda juga tidak akan diberikan markah jika tertinggal langkah ini!

Ingat tu, jangan kerana tiada sama dengan 0 menjadikan anda mendapat 0 markah pula untuk soalan ini!

4) Mahirkan diri menggunakan kalkulator saintifik

Menjawab soalan Matematik, pastinya anda wajib bawa bersama kalkulator saintifik. Alangkah rugi jika kita ada kalkulator saintifik tetapi tidak mahir menggunakan kalkulator dengan bijak.

Ada beberapa soalan Matematik dalam Kertas 1, dan Kertas 2 sama ada Bahagian A atau Bahagian B yang anda boleh dapat markah dengan mudah jika mahir menggunakan kalkulator saintifik.

Sebagai contoh, soalan Kertas 2 Bahagian B, iaitu soalan topik Persamaan Kuadratik, Persamaan Linear Serentak dan Matriks. Anda boleh dapat markah penuh 4 markah setiap soalan tersebut kerana jawapan boleh anda dapatkan sebelum membuat pengiraan! Menarik kan?

Ibaratnya di sini, anda dah tahu jawapan betul, tinggal nak selesaikan dengan tunjukkan jalan kerja yang lengkap langkah demi langkah hingga jawapan akhir.

Ini akan memberikan anda kunci untuk memastikan anda menulis jalan kerja yang betul sehingga mendapat jawapan yang tepat seperti yang tertera pada kalkulator yang telah ditekan tadi. Dah tahu jawapan, mahirkan diri untuk membuat langkah kerja yang betul seperti tip #3 tadi.

Penguasaan terhadap penggunaan kalkulator ini juga membolehkan anda mengesan jika anda ada membuat kecuaian di mana-mana langkah penyelesaian.

Contoh lain, soalan Graf Fungsi biasanya ada 2 ruang nilai y yang perlu dicari bila diberi nilai x dalam jadual. Jom, kita cuba praktikkan terus.

Tekan kalkulator mengikut arahan ini:

Seterusnya, untuk mengisi tempat kosong, sambung tekan kalkulator seperti ini:

Anda akan terus dapat jawapannya! Senang kan kalau dah tahu teknik? Banyak lagi sebenarnya soalan yang boleh anda dapat markah dengan pantas jika tahu teknik yang betul menggunakan kalkulator ni.

Apa lagi, tanyalah guru anda, teknik menguasai penggunaan kalkulator ini. Pasti berbaloi!

5) Tidak dapat semua, jangan tinggal semua.

Untuk tip di saat akhir, anda perlu bijak untuk cemerlang dalam kertas peperiksaan Matematik.

Bagi pelajar yang masih lemah, anda boleh cuba strategi ini untuk tetap skor Matematik. Anda tidak perlu untuk mahir dalam semua topik pun, cukup sekadar memilih beberapa topik yang mudah untuk dikuasai.

Dah kenal pasti topik yang mana? Fokus! Mahirkan diri dengan jalan kerja yang betul untuk dapat markah penuh bagi topik itu semasa menjawab. InsyaAllah, pasti boleh!

Antara topik yang boleh dipilih untuk anda mahirkan ialah soalan ‘direct’ tanpa perlu jalan kerja seperti tajuk Set dan Graf Ketaksamaan Linear.

Cikgu juga sarankan anda untuk mahirkan Kertas 2 Bahagian B yang memberi impak besar 12 markah jika anda menguasainya seperti Statistik dan Graf Fungsi.

Soalan Bahagian B ini kebiasaannya soalan berbentuk rutin, jika anda biasa menjawabnya anda akan dapati bentuknya sama sahaja, hanya nombor dan penceritaan sahaja berubah.

Selain itu, anda juga boleh cuba kuasai soalan yang perlukan penggantian nilai ke dalam formula yang telahpun disediakan dalam kertas soalan.

Jadi, untuk soalan sebegini, anda perlu baca soalan dengan teliti, kenal pasti nilai-nilai yang dinyatakan dalam soalan, seterusnya salin formula dan buat penggantian nilai! Andai tidak dapat jawab sehingga mendapat jawapan akhir pun, sekurang-kurangnya dapat kutip markah pada penggantian nilai dan operasi yang betul.

Contohnya soalan Bulatan dan Pepejal Geometri. Usahakan jawab sekurang-kurangnya membuat penggantian nilai ke dalam formula yang telah disediakan. Anda tidak perlu hafal formula pun! Cukup sekadar faham dan tahu cara menggunakannya.

Andai anda tahu besarnya nilai 1 markah, pasti anda tidak akan biarkan ruang jawapan tersebut kosong tanpa sebarang jawapan.

Baiklah, cukup sekadar ini perkongsian daripada cikgu kali ini.

Cubalah praktikkan lima tip ini yang sememangnya mudah dan berkesan untuk bantu anda skor A+ Matematik SPM.

Manfaatkan ruang dan peluang yang ada ini untuk pulun habis-habisan dan mahirkan diri dalam menjawab soalan-soalan matematik.

Cikgu doakan semua calon SPM tahun ini direzekikan untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam SPM yang dijadualkan pada awal 2021.

Percayalah, Matematik itu mudah dan menyeronokkan!

*****Terima kasih Guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA) Cikgu Juliana Mohd Yunus atas perkongsian ini.

Tip lain

Skor A+ Biologi SPM 2020. Penerangan Cikgu Nor Asila ini buat ramai pelajar mudah faham dan ingat!

10 tip cemerlang dalam peperiksaan. Calon SPM, STPM 2020 boleh amalkan ini

Fizik bukan subjek susah. Ada cara untuk skor A dalam SPM 2021. Cikgu ini kongsi rahsia

Cikgu ini dedah 10 tip hafal sifir yang paling mudah