NILAI - Hasil kesungguhan dan komitmen bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Semarak di sini, melahirkan skuad memanah kini beroleh hasil apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) 2018, baru-baru ini.

Wakil sekolah berkenaan dengan membawa nama pasukan ‘Semarak Eagle Archery Club’ berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori individu lelaki bawah 12 tahun dan berpasukan lelaki bawah 12 tahun, manakala kategori berpasukan perempuan memenangi naib johan.

Jurulatih, Farah Alwani Samsuddin berkata, kelab memanah di sekolah itu mula ditubuhkan pada 2016 dengan bertujuan memberi pengetahuan mengenai asas sukan memanah kepada pelajar yang berminat.

“Pada awalnya, kita buka penyertaan kepada pelajar tahun empat, lima dan enam saja dan guru yang bertanggungjawab melatih pelajar dua orang saja.

“Alat memanah yang kita ada, hanya satu saja dan ia dikongsi dengan 20 pelajar. Tapi yang kami tak sangka, mereka betul-betul berminat nak menyertai sukan memanah,” katanya.

 

Farah Alwani (kanan) bersama guru lain dan sebahagian pelajar yang menyertai sukan memanah.

 

Klinik asas memanah

Bagi memastikan pelajar diberi pengetahuan yang terbaik berkaitan sukan memanah, pihak sekolah menganjurkan klinik asas memanah dengan menggunakan perkhidmatan jurulatih luar.

Pada masa sama, Farah Alwani juga mengambil peluang belajar secara lebih mendalam mengenai sukan memanah bagi meyakinkan ibu bapa yang sukan terbabit mempunyai masa depan cerah.

“Sebagai guru saya perlu pastikan yang saya juga ada ilmu sukan memanah, bukannya setiap kali mahu beli latihan kami perlu panggil jurulatih luar.

“Kita yakinkan ibu bapa supaya keluarkan belanja beli alat memanah untuk anak masing-masing dan paling mengharukan ia disambut baik,” katanya.

Melihat kepada kesungguhan pelajar yang terlibat, pihak sekolah buat pertama kalinya mencuba nasib menghantar penyertaan dalam pertandingan terbuka diadakan bermula tahun lalu.

Pelbagai kejayaan diraih telah menyuntik semangat PIBG untuk membantu mencari peruntukan untuk menyediakan tempat khusus bagi menjalani sesi latihan di kawasan sekolah berkenaan.

 

Penyertaan dalam sukan memanah MSSNS 2018 berhasil.

 

Center sukan memanah

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Md Fakarudin Ab Rahman menyifatkan kemenangan yang diraih pada sukan MSSNS lalu sebagai berbaloi.

“Pelaburan PIBG untuk sukan memanah ini akhirnya menampakkan hasil dengan matlamat melahirkan pelapis sukan memanah negara.

“Lagipun kita nak jadikan SK Taman Semarak sebagai ‘center’ sukan memanah untuk sekolah-sekolah di Nilai. Kita akan buka penyertaan kepada pelajar luar bermula tahun depan,” katanya.

 Selain itu katanya, sukan terbabit bukan sekadar riadah semata-mata sebaliknya mampu menjadi terapi diri kepada kanak-kanak dan remaja sekaligus melatih diri menjadi seorang yang lebih fokus dan berdisiplin.

 “Ia juga jadikan kanak-kanak dan remaja lebih bersemangat dan rasa yakin dalam diri menerusi kerjasama antara mereka,” katanya.          

 

Skuad memanah SK Taman Semarak bersemangat julang nama dalam pertandingan.