KUALA LUMPUR - Pasukan bola sepak SMK Cochrane muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Peringkat Negeri di padang SMK  Cochrane Perkasa baru-baru ini.

Pasukan berkenaan muncul juara setelah menewaskan SMK Raja  Abdullah dalam perlawanan akhir dengan keputusan 1-0.

Gol tunggal yang membawa kemenangan kepada pasukan SMK Cochrane dijaringkan pada minit ke 14 oleh Akmal Ridhuan Mohd Sabri.

Perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan sering  berbalas serangan namun ketangkasan penjaga gol SMK Cochrane, Hafiy Syahmi Sahrul berjaya menyelamat beberapa percubaan berbahaya daripada pihak lawan.

Jurulatih Pasukan, Mohd Yusran Isa berkata, kejayaan tersebut menunjukkan kualiti permainan yang menarik serta semangat juang yang tinggi bagi mencapai
kemenangan.

“Sikap pemain yang berdisiplin dan mematuhi setiap arahan  menjadi penyumbang ke arah kejayaan pasukan.

“Kejayaan menumpaskan beberapa sekolah hebat antaranya Sekolah Sukan Negeri Seri Titiwangsa pada peringkat suku akhir menjadi motivasi yang penting
dan membolehkan pemain tidak berasa gentar ketika bertemu sekolah lain di peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sebanyak 13 sekolah terpilih menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) yang berlangsung selama 4 hari bermula 22 Oktober hingga 25 Oktober 2018.