SMK Za'ba merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super Bawah 14 tahun Bola Sepak 100PLUS Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2018 selepas menewaskan SMK Seri Titiwangsa, 2-1 pada perlawanan baru-baru ini.

Kejayaan skuad bimbingan Hakimi Ramli menerajui takhta liga juga dibantu dengan kekalahan penerajui liga sebelum ini iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang tewas 0-2 di tangan wakil Sarawak, SMK Tabuan Jaya.

Bagi Hakimi kejayaan anak didiknya meraih tiga mata hasil semangat kerjasama dan disiplin tinggi semua pemain sehinggalah tamat perlawanan.

“Syukur kami menang dan dapat tiga mata berharga. Saya mengubah taktikal di saat akhir apabila lebih banyak menggunakan hantaran tinggi dan jauh.

“Semangat, kerjasama dan disiplin semua pemain memastikan kami terus mempertahankan kelebihan gol sehingga wisel penamat,” jelasnya.

Pada perlawanan tersebut, Muhd Haikal Kamarulzaman muncul wira buat SMK Za’ba apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-18, hanya seminit selepas Muhd Ismail Basir menyamakan kedudukan untuk memadam gol awal Abd Raziq Abd Rahman yang dihasilkan pada minit ke-15.

Sementara itu, jurulatih SSTMI, M Kaviarasu berkata, dua kesilapan mudah dilakukan pemain dimanfaatkan lawan untuk meledak gol.

“Dua kesilapan mudah di bahagian pertahanan menyebabkan Sarawak mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol termasuklah masalah komunikasi di bahagian pertahanan.

“Agak kecewa kerana kami tidak dapat mengekalkan momentum kemenangan atau sekurang kurangnya meraih satu mata,” tegasnya.

Selepas beraksi 10 perlawanan, SMK Za’ba mengungguli Liga Super namun berkongsi 23 mata dengan SSTMI yang menghuni tangga kedua.