IPOH - Pasukan Bola Baling SMK Dato Haji Mohd Taib (SMKDHMT) Chemor muncul Juara Bola Baling (Perempuan) Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Kinta Utara 2019 apabila menewaskan SMK Kampung Pasir Puteh 1-0 pada aksi final di Gelanggang Serbaguna Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Pengetua sekolah berkenaan Mohd Rizal Mohd Yusof berkata, pihaknya nyata berbangga dengan kejayaan berkenaan yang terhasil daripada komitmen serta kesungguhan pemain dan barisan pengurusan pasukan.

“Alhamdulillah, saya bangga dan gembira atas kejayaan ini sekali gus menepati sasaran awal pasukan untuk menjuarai pertandingan kali ini rentetan kejuaraan diraih peringkat Zon A pada Januari lalu,” katanya.

Difahamkan, kali terakhir SMKDHMT memenangi pertandingan berkenaan adalah pada 2017 sebelum SMK Kampung Pasir Puteh muncul juara tahun lalu.

Kejayaan kali ini lebih manis apabila pemain SMKDHMT Noratikah Mustofa yang menjaringkan gol tunggal perlawanan dipilih pemain terbaik perlawanan akhir.

Sementara itu, pengurus pasukan, Nor Aliza Aznam berharap agar kejayaan ini akan membantunya mengurus pasukan berkenaan ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

“Selepas ini, kesemua pemain akan melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Bola Baling Peringkat Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung di Kampar tidak lama lagi,” katanya.