Tinggal beberapa hari sahaja lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan berlangsung.

Saat ini, semestinya calon-calon SPM sedang mengulang kaji pelajaran dan melakukan persediaan terakhir sebelum ke dewan peperiksaan.

Untuk menghilangkan rasa debar, berikut disediakan lapan adab berdoa yang calon-calon boleh amalkan.

Diharapkan ia dapat membantu mereka menduduki peperiksaan nanti.

Berikut adab-adab berdoa:

1) Merendahkan diri dan suara (Tawaduk)

Merendahkan diri dan melafazkan suara yang sederhana serta dengan nada yang lunak semasa berdoa adalah disukai oleh Allah.

2) Menumpukan fikiran (Khusyuk)

Menumpukan fikiran serta memusatkan perhatian kepada sesuatu perkara yang dikerjakan dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi semasa berdoa. Ini disebabkan kemakbulan doa berkait rapat dengan sifat khusyuk seseorang.

3) Gigih dan penuh harapan

Bersungguh-sungguh bagi melakukan sesuatu pekerjaan dituntut dan punca penghasilan kejayaan yang diharapkan. Harapan yang tinggi pula adalah penggerak dan pendorong kepada terbitnya hasil kerja yang memuaskan daripada usaha pekerjaan itu. Kesungguhan dan harapan yang tinggi sebenarnya adalah dua perkara yang berangkaian dan mempunyai saling kaitan. Oleh kerana itu, kesungguhan dan harapan mempengaruhi kemakbulan doa itu. Berdoa dengan cara main-main, tidak membawa apa-apa kesan seperti yang diharap-harapkan.

4) Memohon ampun kepada Allah

Kebersihan jiwa, makanan, minuman dan pakaian adalah mempengaruhi kemakbulan sesuatu doa. Jiwa yang tidak suci, ditambah dengan makanan dan minuman yang haram adalah sebagai salah satu penyebab Tuhan tidak memakbulkan doa hambanya.

Oleh itu, sebelum seseorang berdoa, anda hendaklah memohon ampun kepada Allah SWT atas segala kesilapan yang dilakukannya sebelum ini dengan cara mengucapkan istighfar kepada Tuhan apabila kita sedar bahawa niat, perasan jiwa, akal serta makan dan minuman masih berada dalam keadaan tidak suci.

5) Menghadap kiblat dan mengangkat kedua belah tangan

Menghadap kiblat adalah salah satu yang diisyaratkan ataupun disunatkan sebelum seseorang itu melakukan sesuatu ibadah.

6) Memahami kandungan dan makna doa

Dengan memahami isi kandungan doa sekali gus dapat memudahkan seseorang bagi menghayati doa itu. Oleh kerana itu, lafaz doa yang dibaca mestilah difahami dan dihayati dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan tahap kekhusyukan. Tanpa memahami dan menghayati maksud doa, sama seperti orang yang tidak berdoa.

7) Memuji Tuhan pada permulaan dan penutup doa

Sebaik-baik doa adalah doa yang dimulakan dan diakhiri dengan memuji Tuhan. Sebutan tahmid di awal doa ini menambah lagi keberkatan dan menentukan kemakbulan satu-satu doa. Begitu juga sebaik-baiknya doa adalah apabila seseorang itu menamatkannya dengan dilafazkan tahmid penutup yang menandakan berakhirnya doa.

8) Membaca selawat kepada Nabi Muhammad

Di samping bertahmid kepada Allah SWT eloklah doa itu diiringi dengan membaca selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW

Sumber: Teknik Menjadi Pelajar Cemerlang, Dr. Hasan Mohd Ali, Ph.D.

Artikel menarik

Sistem IQ-NILAM mudahkan murid rekod maklumat bahan bacaan secara dalam talian

Strategi pelaksanaan pembelajaran teradun untuk murid sekolah rendah