JOHOR BAHRU - Melahirkan pelari pecut berkualiti menjadi motivasi buat Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk  bergerak sebagai elit dalam melahirkan lebih ramai atlet negara dalam sukan itu.

SSTMI sebelum ini turut memainkan peranan dalam kemenjadian pemegang rekod 100 meter Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan pada  Sukan Sea 2017 lalu dan  Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun sebelumnya.

Pengetuanya, Suhaimi Abdullah berkata, olahraga merupakan sukan teras yang  sering menjadi keutamaan sekolah dalam penghasilan atlet berkualiti.

Katanya, sekolah juga sudah mempunyai senarai pelapis bagi sukan  larian termasuk acara gantian yang mana  sudah ditapis serta diberi perhatian khusus dari semasa ke semasa.

“Acara pecut memang kita beri perhatian, macam sekarang atlet kita ada  Muhd Saiful Safwan, Haikal Hanafi,  Zulfiqar Ismail, usianya semua masih 19 lebih kurang Khairul Hafiz.

“Selain itu, untuk 400 meter kita ada Muhammad Ilham Suhaimi. Bagi 100  meter pun kita ada Raja Mohd Danial dan Wafi Roslan. Ini mungkin antara atlet kita yang mempunyai rekod terbaik.

“Untuk pelapis kita juga dah kenal pasti beberapa pelari muda dan berpotensi, semuanya pun masih berusia 14 hingga 16 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Suhaimi berkata, kebolehan kesemua atlet itu juga sudah dibuktikan menerusi  beberapa penglibatan mereka dalam sukan domestik termasuk yang terbaru Sukma Perak, tahun lalu.

“Kita sentiasa beri pendedahan kepada pelari untuk kembangkan potensi mereka, macam terbaharu saingan  Sukma, mereka ini juga yang mengambil bahagian.

“Macam di Sukma, pusingan akhir itu kita boleh tengok, daripada lapan  pelari tujuhnya mesti  daripada kita. Saingan 100 meter atau 200 meter memang banyak  pelari kita,” katanya.

Bebas gangguan mampu bantu atlet 

Mengulas mengenai  rutin atlet pecut dilatih SSTMI, Suhaimi memberitahu pihak sekolah sudah menyediakan pelan dan strategi harian bagi membantu atlet mempunyai imbangan yang tepat melibatkan latihan dan pembelajaran.

“Kita berikan keselesaan kepada mereka, walaupun dengan latihan intensif, pembelajaran pun kita mahukan yang terbaik. Kita terapkan pengurusan masa untuk membantu mereka bahagi masa untuk berlatih dan belajar.

“Satu lagi mereka di sini juga boleh berlatih dengan tenang, kita kurangkan  gangguan luar untuk bantu mereka fokus,” katanya.

Jelasnya, selain penjagaan atlet dan rutin latihan yang ditetapkan, beliau  berkata, sekolah juga mempunyai tenaga pengajar yang berkredibiliti selain turut menyediakan pemakanan dan ubat-ubatan berkualiti.

Kemudahan gimnasium untuk meningkatkan ketahanan atlet SSTMI turut disediakan.

“Memang pemakanan kita jaga,  termasuk ubat-ubatan dan sesi fisioterapi yang mereka terima. Macam dulu kita ada kerjasama dengan Institut Sains Sukan Negara (ISSN) tetapi dah tiada jadi kita banyak guna tenaga dalaman.

“Jadi kalau Majlis Sukan Negara (MSN) mahu berikan lebih bantuan kita hargai,  sebab di sini kita jalankan program elit, untuk masa depan atlet negara.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita ada kerjasama dengan Kementerian Kesihatan,  jadi ubat-ubatan dan tenaga fisio memang kita ada di sekolah, ia membantu  sangat,” katanya.