Dia cuma tanya

"Bagi tahu sahaja mahu berapa, penghantaran semua aku atur"

Demikian kata Cikgu Maisarah Hannan berkenaan kebaikan seorang rakan yang begitu murah hati menyumbangkan tembikai kepada anak-anak didiknya.

Katanya, kisah tembikai percuma itu telah dimuat naik seminggu yang lalu dan mula tular dalam kalangan warganet.

"Bila kau turun dari bas dan jalan kaki waktu panas terik masuk pagar sekolah terus ada hidangan ni depan mata. Apa perasaan?? Heaven kan...

"Terima kasih pada hamba Allah yg sedekahkan buah-buahan segar ni untuk murid-murid saya. Moga selamanya dirahmati. Saya sendiri tak menyangka bila seorang yang murah hati mesej saya bertanya jika saya mau buah tembikai. Bagi tahu saja berapa biji mau, kos penghantaran jangan fikir katanya. Alhamdulillah...Terima kasih sahabat...

Menurut Cikgu Maisarah Hannan, pemberian tembikai itu bermula ketika dia dan rakan-rakan dari grup sekolah menengah Tawau berbual-bual menerusi aplikasi Whatsapp.

"Salah seorang ahli mengiklankan promosi tembikai dalam grup berkenaan.

"Daripada situ, terlintas di fikiran saya untuk menjamu buah tembikai kepada pelajar di sekolah.

"Kemudian, saya mula bertanyakan harga tembikai tersebut kepada kawan yang tadi. Disebabkan dia tinggal di Tawau dan saya di Sandakan, saya terpaksa membatalkan keinginan tersebut kerana lokasinya yang sangat jauh dan berdepan masalah berkaitan urusan penghantaran," ujarnya yang menganggap mungkin bukan rezeki pelajarnya untuk menikmati tembikai berkenaan.

Cikgu Maisarah berkata, ada seorang ahli grup telah menghantar whatsapp secara peribadi kepadanya dan mula bertanyakan tentang kuantiti tembikai yang diperlukan.

"Dia tanya berapa biji tembikai yang diinginkan. Dia mahu sedekahkan kepada pelajar saya. Saya terkejut sangat dan dalam masa yang sama amat bersyukur dengan rezeki ini," ujar Guru Bimbingan dan Kaunseling di sebuah sekolah di Sabah.

Sebanyak 22 biji tembikai yang beratnya 80 kilogram telah disumbangkan oleh rakan yang pemurah ini.

"Dia mengirimkan kesemua buah tembikai menerusi bas ekspres pada jam 2 petang, Rabu lalu. Kemudian, kira-kira 8.30 malam, buah-buahan selamat tiba di tangan saya.

"Saya potong siap-siap dari rumah dan masukkan ke dalam peti sejuk. Hajat saya, saya akan membawanya ke sekolah pada keesokan harinya dan akan mengagih agikan kepada pelajar," kata cikgu ini.  

Setibanya di sekolah, Cikgu Maisarah bersama beberapa rakan guru bersedia mengisi tembikai di dalam bekas kecil.

"Sebanyak 400 bekas berjaya diisi dengan tembikai dan diberikan kepada pelajar Tingkatan Satu dan Dua (sesi petang).

"Kelihatan mereka gembira dan seronok bila dapat menikmati buah ini.

"Masing-masing mengucapkan terima kasih kepada penyumbang dan mendoakan agar dia terus dimurahkan rezeki selalu," kata Cikgu Maisarah.   

Artikel menarik

Kerana kemiskinan, pelajar pakai perca kain putih jahitan ibu ke sekolah. Cikgu Maisarah sebak

Keluar rumah 3 pagi dan balik lewat senja, inilah rutin harian seorang pendidik SK Dabong