SASARAN atlet angkat berat, Nur Atikah Mahamad Sobri memecahkan rekod lapan tahun temasya Sukan Malaysia (Sukma) acara ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’ kategori bawah 63 kilogram (kg) akhirnya tercapai pada penampilan ketiganya di Perak.

Nur Atikah, 17, mewakili Wilayah Persekutuan meraih dua pingat emas selepas berjaya membuat angkatan 102kg dalam acara ‘clean andjerk’ dan 82kg dalam acara ‘snatch’.

Kedua-dua angkatan itu membolehkannya memadamkan rekod Nurul Farhana Johari dari Kedah pada edisi 2010 di Melaka.

Rekod terdahulu adalah 101kg ‘clean and jerk’ dan 81kg bagi ‘snatch’.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata, kejayaannya itu dihadiahkan untuk kedua ibu bapanya yang sentiasa hadir memberikan sokongan dan dorongan dengan menyaksikan dia bertanding di Sukma.

"Impian saya adalah mahu kedua ibu bapa saya melihat kejayaan saya mencipta rekod baru Sukma.

"Alhamdullilah pada penampilan kali ketiga ini saya berjaya melakukannya. Saya menang pingat emas acara ini di Sarawak dan menambahkan keyakinan buat saya mempertahankan kejuaraan. Sasaran utama saya adalah pecahkan rekod sukma, saya berkerja keras dalam latihan untuk capai matlamat itu,” katanya di Dewan Merdeka Majlis Daerah Tapah semalam.

Nur Atikah menewaskan atlet Perlis, Nur Farah Wahida Mat Husin di tempat kedua dengan angkatan 89kg acara ‘clean and jerk’ dan 71kg acara ‘snatch’.

Manakala pingat gangsa, menjadi milik atlet angkat berat Sarawak, Marthina Chan dengan angkatan 88kg acara ‘clean and jerk’ dan 70kg bagi acara ‘snatch’.