PEMBELAJARAN semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begitu berbeza seandainya dibandingkan dengan pembelajaran sewaktu pengajaran biasa di dalam kelas.

Banyak aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan kerana kekangan penjarakan fizikal yang diberi keutamaan.

Namun, pengajaran pasca pandemik Covid-19 mestilah lebih kreatif agar murid-murid tidak ketinggalan lantaran wabak ini.

Ikuti perkongsian tiga guru pasca merdeka dari Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2), Kuala Lumpur, yang mengintegrasikan Model 5E dengan pengajaran pasca pandemik Covid-19 khususnya bagi guru-guru di sekolah rendah.

Tiga guru yang dimaksudkan itu ialah Cikgu Muhamad Amirul Asyraf Mah Hassan, Cikgu Abd Rahim Yahya dan Cikgu Asyraf Muklas.

Menurut guru berkenaan, penggunaan Model 5E yang berasaskan pendekatan konstruktivisme adalah langkah bijak yang sangat signifikan dalam memberi impak terhadap pembelajaran di dalam kelas.

1) Fasa 1: Engage

Guru memaklumkan kepada murid subtopik yang akan dipelajari pada pengajaran yang akan datang. Murid menggunakan kesempatan semasa di rumah untuk melihat sepintas lalu subtopik yang akan dipelajari.

2) Fasa 2: Explore

Murid meneroka isi pembelajaran dan membuat carian di internet ataupun menggunakan laman Youtube untuk memahami isi pengajaran yang akan dipelajari. Segala persoalan ataupun perkara yang tidak difahami akan dicatatkan di dalam buku nota.

3) Fasa 3: Explain

Semasa di sekolah, guru akan menerangkan isi pengajaran dan murid-murid akan mengaitkan dengan isi pengajaran yang mereka telah pelajari sendiri di rumah.

4) Fasa 4: Elaborate

Guru akan menghuraikan segala persoalan yang tidak difahami oleh murid memandangkan murid-murid telah mencatatkan segala persoalan di dalam buku nota dan memanfaatkan peluang bersemuka dengan guru di sekolah untuk mendapatkan penjelasan bagi sesuatu topik yang masih belum dikuasai dengan baik.

5) Fasa 5: Evaluate

Proses penilaian bertujuan untuk menguji kefahaman murid dan  guru akan menyediakan kuiz melalui pelbagai medium seperti Google Classroom ataupun melalui permainan interaktif yang menarik seperti  ‘wordwall’, ‘liveworksheet’ dan sebagainya.

Model 5E membolehkan seorang guru memberi latihan berdasarkan kreativiti masing-masing.

Sama ada mereka ingin memberi latihan di dalam kelas ataupun memanfaatkan teknologi terkini dengan memberi latihan mahupun kuiz melalui laman Google Classroom yang dimiliki setiap murid di sekolah.

Laman atas talian seperti liveworksheet, wordwall dan sebagainya merupakan contoh yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan murid-murid.

Semuanya ini bergantung kepada tahap capaian internet murid-murid di rumah dan keadaan ini sudah tentunya dapat membentuk ruang lingkup pembelajaran yang sangat holistik dalam kehidupan seharian murid-murid di rumah.

Pesan tiga guru hebat ini lagi, pembelajaran adalah suatu elemen yang senantiasa berlaku sepanjang hayat dan tidak hanya terikat di sekolah semata-mata.

“Oleh itu, memanfaatkan Model 5E adalah langkah yang sangat signifikan dalam memberi impak yang maksima kepada guru-guru di sekolah,” kata mereka.

Cikgu Muhamad Amirul Asyraf

Cikgu Abd Rahim

Cikgu Asyraf

Tip lain:

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2021 - Kuasai Kertas 1, 2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Guru Cemerlang aplikasikan tujuh tip ini untuk tarik pelajar 'lemah' minat Matematik. Memang menjadi