GUA MUSANG - Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra (SMKTIP) dipilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Kriket Kategori Bawah 19 Tahun yang akan berlangsung di India.

Mereka adalah Mohamad Irfaq Wan Yusoff, Mohammad Hakim Harisan dan Muhammad  Aiman Afiq.

Selain mereka bertiga, satu-satunya bintang kriket wanita SMKTIP, Wan Nor Zulaika Sofea Wan Mohd Zulkifli terpilih mewakili Malaysia dalam kategori National  Woman Team di Bangkok, Thailand.

Menurut Mohamad Irfaq, ini adalah satu pencapaian paling besar buatnya sepanjang  terlibat dalam sukan kriket.

Katanya sebelum ini, dia bersama kumpulannya dari SMKTIP menjuarai Kejohanan  Kriket Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Padang  Insititut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Ogos lalu.

"Selain itu, saya bersama rakan sepasukan dari SMKTIP, Hakim Harisan berjaya mewakili Kelantan ke Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

"Kejohanan di Sukma 2018 menyaksikan Kelantan menduduki tempat keempat dalam  sukan kriket.

"Alhamdulillah, peluang bermain bersama  pasukan Malaysia di India adalah satu impian saya dan saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Mohamad Irfaq merupakan penerima  Anugerah Pemain Terbaik Keseluruhan dan memenangi dua anugerah lain iaitu Anugerah Best Bowler dan Best Wicket ketika  kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Pengetua SMKTIP, Ummi Mariza Che Ya berkata, Majlis Menandatangani  Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Kecemerlangan Kriket Antara  Persatuan Kriket Malaysia (PKM) dengan SMKTIP telah berlangsung pada minggu lalu.

Katanya, menerusi perjanjian persefahaman itu, SMKTIP dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan Kriket PKM.

"Program ini adalah salah satu usaha PKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan  bagi meneruskan pembangunan kriket peringkat sekolah di Malaysia.

"Program ini juga merupakan usaha membangunkan pasukan SMKTIP di dalam sukan  kriket serta SMKTIP sebagai Pusat Keunggulan  Sukan Kriket," katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Persatuan Kriket Malaysia PKM, Mahinda  Vallipuram; Ketua Pegawai Operasi PKM, Dinesh Muthuraman dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, Muhamad Sauki Hussin.

Dalam majlis sama, Mahinda turut menyampaikan sumbangan berupa peralatan  kriket untuk pembangunan kriket junior dan senior.