Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah perumpamaan sesuai bagi seorang pembantu makmal sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok di sini, apabila cubaan untuk menanam pokok mangga harum manis yang bermula sebagai hobi kini mampu memberi hasil yang membanggakan.

Nor Mazalan Ab Ghaffar, 52, berkata pada awalnya beliau hanya menanam lima pokok mangga harum manis di halaman rumahnya dengan menggunakan benih yang diperoleh dari Perlis, namun tidak menyangka tanaman itu subur dan kini selepas lapan tahun ia mampu membenihkan sehingga 70 pokok di tanah kebun miliknya iaitu seluas 0.4 hektar di Kampung Nibong di sini.

"Pada awalnya, daripada lima pokok mangga yang ditanam di sekitar halaman rumah itu, hanya dua pokok sahaja yang menjadi dan memberikan hasil sebanyak 50 biji harum manis setiap pokok sekaligus membuatkan minat saya bertambah untuk menanamnya dengan lebih banyak.

Gambar: BERNAMA

"Kebanyakan orang kita hanya mengganggap pokok mangga jenis ini hanya mampu diusahakan di Perlis sahaja, namun tanaman ini hanya memerlukan air yang banyak untuk hidup sekaligus membuatkan ia sesuai ditanam di mana-mana sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya di Kampung Nibong di sini.

Mengulas lanjut, bapa kepada empat anak itu berkata untuk mengusahakan pokok mangga harum manis pada peringkat awal bukan mudah, malah ketika mula-mula membabitkan diri beliau sentiasa berulang-alik ke Perlis untuk mempelajari kaedah yang betul untuk menanam dan menjaga pokok berkenaan daripada beberapa pengusaha tanaman itu di sana.

Katanya, usaha menanam pokok mangga harum manis itu dilakukan sendiri menggunakan modal RM5,000 dari wang simpanan.

"Penjagaan tanaman ini agak rumit kerana perlu meracun pada awal musim bunga, ketika ia mula berputik bagi suburkan buah, malah saya perlu menyiram 18 liter air sebanyak dua kali sehari bagi menjamin kualiti buah yang dihasilkan.

"Penjagaannya juga agak cerewet kerana mudah diserang serangga dan penyakit hingga saya terpaksa menggunakan dua jenis racun iaitu racun kulat dan serangga empat kali semusim serta membalutnya sebaik ia berbuah sebesar bola pingpong untuk mengelak daripada dimakan kera atau musang,” katanya.

Nor Mazalan berkata, pada kebiasaanya beliau akan mula memetik mangga Harum Manis apabila ia mencapai tempoh matang iaitu empat bulan selepas berbunga dan kemudian diperam selama lima hari menggunakan bahan penggalak bagi memastikan buah masak serentak sebelum boleh dimakan ataupun dijual.

"Mangga harum manis ini dah dijual dengan harga RM20 sekilogram dengan mempromosikannya kepada kenalan ataupun menerusi kumpulan WhatsApp sahaja dan ia pernah mendapat permintaan daripada pelanggan di Kuala Lumpur dan Terengganu.

"Isinya yang manis dan lembut seakan agar-agar serta mempunyai bau tersendiri menjadikan harum manis ‘kegilaan’ penggemarnya selain mempunyai dua warna iaitu kuning dan oren,” katanya yang kini turut memiliki lapan pokok harum manis di rumahnya di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, Tumpat.

Beliau kini turut memerlukan bantuan dan bimbingan yang lebih baik daripada Jabatan Pertanian Kelantan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta kerajaan negeri untuk memajukan tanaman Harum Manis di Kelantan, dan berharap tanaman ini dapat membuka mata lebih ramai petani atau pekebun untuk mengusahakannya,” katanya.- BERNAMA

Artikel menarik:

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik